Resepi Hati Dia
Friday, September 26, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 15

 

 

Apabila Adriana buka sahaja matanya, dia mendapati dirinya kini sedang terbaring seorang diri di atas sebuah katil di sebuah bilik persendirian di pusat rawatan yang langsung tidak diketahuinya di mana. Tangannya pula ketika ini disambungkan kepada wayar-wayar yang menyalurkan darah dan sejenis cecair berwarna putih yang tidak diketahui namanya. Didapatinya ketika ini langsung tiada sesiapa pun yang menemaninya di dalam bilik tersebut.

Dalam keadaan yang masih separuh mamai, Adriana cuba mengingati kembali bagaimana sebenarnya dia boleh terlantar di sini. Setelah agak seketika dia cuba menggodak ingatannya semula, akhirnya barulah dia teringat apa yang telah terjadi sebelum dia tidak sedarkan dirinya. Seingat dia, dia telah jatuh tersembam ke atas bakul kain kotor yang dibawanya ketika dia sedang menuruni anak tangga dan kemudian dia mendapati celah kelengkangnya berdarah sebelum segala-galanya menjadi gelap.

Apabila mengingatkan perihal celah kelengkangnya yang berdarah, segera Adriana tersedar kan sesuatu. Anaknya! Macam mana dengan kandungannya ketika ini? Adakah dia telah mengalami keguguran? Lalu Adriana segera berusaha sedaya-upayanya bangun daripada perbaringannya untuk memeriksa celah kelengkangnya sekalipun seluruh ketika ini tubuhnya masih terasa sakit yang amat sangat. Dalam serba kepayahan, Adriana lihat kawasan celah kelengkangnya yang ketika ini dilitupi dengan pakaian hospital langsung sudah tidak berdarah lagi. Tetapi apabila dia meletakkan tangannya pada kawasan rahimnya, dia dapat merasakan kawasan itu seolah-olah kosong sahaja. Naluri wanitanya dapat merasakan yang kandungannya itu sudah tiada lagi di situ.

Mengenangkan itu dia terasa seperti mahu meraung sahaja. Dia sudah kehilangan bayinya. Hasil buah cintanya dan Erdyzuan sudah tiada lagi! Semuanya ini adalah gara-gara Ermilza. Adriana amat pasti sekali, adik iparnya itulah yang telah menolaknya sehingga terjatuh daripada tangga lalu membuatkan dia kehilangan kandungannya ini. Saat ini dia masih terbayang-bayangkan lagi senyuman sinis Ermilza daripada anak tangga atas memerhatikan dirinya yang sedang terlantar sambil menahan kesakitan setelah ditolak oleh gadis itu.

Malah bayangan senyuman sinis Ermilza itu terasa semakin berganda-ganda jadinya dan terus mengelilingi dirinya ketika ini. Merasa tertekan melihatkan senyuman sinis yang tidak mahu berlalu dan terus-terusan mengelilinginya itu, pantas Adriana mencapai pasu kecil di sisi katilnya lalu terus membaling objek tersebut pada salah satu bayang tersebut dan menjerit sekuat-kuat hatinya...

"Pergi!!! Aku kata pergi... pergilah!!! Kau bunuh anak aku. Kau pembunuh!!!"

Di luar sana, apabila mendengarkan ada jeritan datang daripada bilik Adriana, seorang jururawat yang kebetulan lalu di hadapan bilik Adriana terus menerkam masuk dan cuba menenangkan dirinya yang ketika ini seperti sudah kerasukan sahaja. Namun Adriana yang ketika ini langsung tidak makan dipujuk terus sahaja menjerit-jerit pada bayang-bayang yang masih tidak berganjak daripada fikirannya sejak tadi.

Melihatkan keadaan Adriana yang semakin tidak terkawal, dengan segera mungkin jururawat tersebut terus keluar untuk mendapatkan bantuan daripada rakan jururawat lain dan doktor bertugas pula. Sesampainya sahaja Doktor Zana ke dalam bilik Adriana dan dengan bantuan dua orang jururawatnya, doktor wanita tersebut terus menyuntik ubat penenang pada lengan Adriana. Beberapa saat selepas itu, gerakkan dan suara Adriana mula menjadi semakin lemah sebelum akhirnya dia rebah semula di atas katil.

 

 

 

 

 

Tersedar sekali lagi beberapa jam selepas itu, Adriana lihat emak mentuanya sudah sedia menunggu dia di sisi katilnya. Puan Melissa pula segera melemparkan senyuman manisnya pada menantu nan seorang ini apabila melihatkan Adriana sudah pun membuka matanya. Hati keibuan nya benar-benar merasa tersentuh apabila mendengarkan laporan terkini daripada Doktor Zana yang datang melihat perkembangan Adriana sebentar tadi. Kata doktor wanita itu, Adriana langsung tidak dapat mengawal dirinya ketika dia terjaga buat kali pertama beberapa jam yang lalu. Tambah doktor tersebut, berkemungkinan besar menantunya ini mengalami tekanan perasaan apabila menyedari yang dia sudah pun kehilangan kandungannya itu.

Dia benar-benar merasa kasihan pada Adriana yang telah mengalami keguguran kandungannya itu. Sudahlah kandungan yang gugur itu adalah anak pertama dia. Lebih kasihan lagi apabila anak lelakinya si Erdyzuan itu langsung tidak mahu datang menjenguk isterinya yang sedang terlantar sakit di sini. Kata anaknya itu, apa yang berlaku semuanya adalah salah Adriana yang tidak tahu hendak berehat dan tidak mahu berhati-hati. Sudah diberi duit perbelanjaan untuk mendobi pun masih juga mahu membuat kerja mencuci pakaian mereka sekeluarga sendiri.

Puan Melissa sendiri sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk Erdyzuan supaya datang ke sini. Lagipun bukannya jauh mana pun rumah mereka dengan Pusat Perubatan Naluri di Wangsa Maju Seksyen 5 ini. Kalau nak berjalan kaki dari rumah mereka  ke sini pun boleh. Kalaulah Adriana tahu apa pandangan Erdyzuan tentang kegugurannya itu, rasanya mahu sahaja menantunya ini merasa semakin tertekan dan terus menjerit-jerit seperti ketika kali pertama dia terjaga tadi.

"Ma... Zuan tak datang ke ma?"

Tiba-tiba kedengaran suara lemah Adriana bertanyakan tentang suaminya. Dengan rasa teragak-agak Puan Melissa menghadiahkan senyuman nipis pada menantunya sebelum menjawab.   

"Err... tak Ary. Zuan tak dapat datang. Dia kena kerja."

"Oh, kerja..." Ada nada terkilan dalam jawapan Adriana itu.

"Macam mana Ary rasa sekarang ni?"

"Ary dah rasa okay sedikit ma." Semakin lemah sahaja kedengaran suara Adriana menjawab soalan Puan Melissa itu.

Sememangnya mendengarkan jawapan emak mentuanya tadi, Adriana sendiri dapat rasakan sendiri suara dan tubuhnya yang sudah sedikit pulih berbanding ketika kali pertama dia tersedar beberapa jam yang lalu menjadi lemah semula. Namun begitu, di dalam dirinya ketika ini, pendapat akal dan hatinya bergolak hebat bertingkah di antara satu sama lain mencari jawapannya sendirian.

'Benar kah Erdyzuan suaminya itu tidak dapat datang sebab bekerja? Atau dia memang tak mahu datang sebab dia marahkan Adriana kerana keguguran? Lagipun setahu dia sepanjang bulan puasa ini Erdyzuan sememangnya langsung tidak ada tugasan di pelantar minyak. Kalau setakat kerja-kerja di pejabatnya di KLCC tu, takkanlah langsung tidak boleh ditinggalkan sekejap untuk menemani isterinya ini yang sedang sakit?'

"Ary... Ary tahu ke... yang Ary dah... dah..."

Dengan penuh rasa teragak-agak Puan Melissa cuba untuk bertanya sama ada Adriana sedar yang dia sudah pun keguguran. Namun patah-patah katanya bagaikan tidak terkeluar rasanya. Tidak sampai hati rasanya untuk dia meneruskan pertanyaannya itu. Apatah lagi dia sendiri tidak pasti apakah perasaan sebenar Adriana di kala dia tersedar buat kali kedua ini. Adakah menantunya ini sudah dapat menerima kenyataan akan keguguran kandungannya itu? Atau adakah menantunya ini akan menjerit-jerit seperti kali pertama dia tersedar apabila tahu tentang kegugurannya itu?     

"Ary tahu ma. Tak apalah ma, nak buat macam mana. Masih tak ada rezeki lagi buat Ary dengan Zuan untuk beri cucu pada ma."

Masih dengan suara yang lemah, Adriana menjawab soalan emak mentuanya yang tidak habis itu. Pada saat ini dia sudah pun dapat menerima takdir yang telah tersurat buatnya. Tidak lagi seperti ketika kali pertama dia terjaga sebelum ini. Walaupun berat hatinya untuk menerima kenyataan yang dia telah kehilangan kandungannya itu, dia sedar setiap kejadian itu ada hikmahnya.

"Setiap yang Allah jadikan itu semuanya bersebab ma. Mungkin kalau anak itu terus hidup sekalipun, dia tidak akan jadi anak yang baik dan menyusahkan ibu bapanya. Mungkin juga kalau anak itu selamat lahir ke dunia ini, Ary dan Zuan tidak akan dapat menjadi ibu bapa yang baik buat anak itu. Mungkin kalau anak itu..."

Adriana sudah tidak dapat meneruskan lagi anggapan dia akan hikmah-hikmah yang tersembunyi apabila tekaknya terasa semakin berpasir dan kedua-dua kelopaknya matanya sudah mula berladung dengan air mata.           

"Ary... sudah-sudahlah tu. Ary masih muda lagi. Ary masih mempunyai banyak masa lagi untuk cuba dapatkan anak. Kalau Ary dan Zuan tak ada anak pun, tak apa. Ma tak kisah. Pada ma, yang penting ialah anak menantu ma dapat hidup dengan bahagia dan sihat selalu."

Melihatkan pada wajah pilu dan suara sendu Adriana, Puan Melissa segera memujuk menantunya itu. Air matanya sendiri yang cuba ditahan sejak tadi kini sudah tidak mampu di selindung kan lagi. Lalu sepantas mungkin dia memohon dirinya sebentar daripada Adriana dengan memberi alasan yang dia hendak ke kedai berhampiran untuk membeli sesuatu.

Dan... sebaik sahaja ibu mentuanya keluar daripada bilik rawatannya itu, air mata Adriana mula meluruh dengan lebatnya.

 

 

 

Brownies Full of Choc

Resepi daripada sofieza@myresipi.com

Bahan-bahan

  • 250g (sebuku) butter
  • 400g coklat masakan
  • 6 biji telor
  • 2 cawan gula perang
  • 2 penutup esen vanilla
  • 1 sudu besar coklat emulco
  • 3/4 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan serbuk coklat
  • 1/2 cawan kacang walnut @ pecan @ almond @ macadamia. Ikut suka. Kalau tak letak kacang pun tak apa.

Cara-cara

  1. Panaskan oven 180 darjah.
  2. Double boil butter dan coklat masakan. Pastikan air yang menggelegak tak masuk dalam adunan butter dan coklat masakan. Setelah cair, ketepikan. Biarkan sejuk.
  3. Dalam bekas lain, masukkan telur, gula perang, esen vanilla dan coklat emulco. Gunakan spatula untuk sebatikan bahan-bahan ini.
  4. Tuang adunan butter dan coklat masakan yang dicairkan tadi ke dalam adunan di atas. Gaulkan sebati. Jangan kacau terlalu lama. Setakat sebatikan saja.
  5. Ayak tepung gandum dan serbuk coklat. Masukkan dalam adunan di atas bersama kacang (jika ada). Gaul sebati dan masukkan ke dalam loyang yang sudah digriskan dengan marjerin atau butter.
  6. Bakar selama 45 minit menggunakan api atas bawah atau sehingga masak. Gunakan lidi untuk periksa bahagian tengah brownies.
  7. Untuk chocolate sauce (coklat cair seperti dlm gambar tu) mengikut resepi iejay: campurkan dalam periuk butter 90gram, 3 sudu besar serbuk koko, 6 sudu besar gula perang, 6 sudu besar susu pekat dalam tin dan masakkan semuanya sekaligus dengan cara double boiler... (kalau dah mahir, tak pakai double boiler pun boleh).. kemudian dalam keadaan masih panas, sapukanlah atas brownies tu...  

Note from iejay:

Brownies ni sangat sedappp dan mudah aje nak  buat... nak lagi sedap, panaskan brownies ni dalam microwave ( without choclate sauce dia tu ya) buat seketika lepas tu letak ice cream vanilla di atasnya...maka jadilah Brownies ala- mode yang yummy... 

 

Just Cake (Quick-Mix Plain Cake)

 

Bahan-bahan

  • 185g mentega
  • 2 sudu kecil esen vanila
  • 1  1/4 cawan gula kaster
  • 3 biji telur ayam
  • 1  3/4 cawan susu cair / susu segar
  • 1  1/2 cawan tepung naik sendiri
  • 1/3  cawan tepung jagung

Cara-cara

  1. Lenserkan loyang kek dengan marjerin / mentega / minyak masak dan ditabur dengan tepung.
  2. Campurkan mentega, esen vanila, gula kaster, telur, susu cair dan tepung naik sendiri yang telah diayak serta tepung jagung di dalam mangkuk pengadun.
  3. Cara iejay: Untuk kek yang sangat-sangat gebu dan yummy telur putih dan telur kuning tu sebelum di campurkan dengan bahan-bahan lain, pukul dahulu sampai kembang dalam mangkuk yang berasingan. i.e. semua putih telur dan kuning telur diasingkan dahulu dalam mangkuk yang berlainan, kemudian pukul setiap bahagian telur tu sampai kembang, barulah dicampur dalam bahan2 lain... 
  4. Pukul dengan mesin pengadun elektrik dengan kelajuan sederhana sampai sebati selama 3 minit atau sehingga kelihatan gebu.
  5. Tuang ke dalam loyang dan bakar pada suhu 150”ĘC selama 45 minit atau apabila lidi tidak basah apabila dicucuk pada kek.
  6. Biarkan selama 5 minit sebelum dikeluarkan dari loyang. Taburkan dengan gula aising di atas kek (mengikut citarasa). iejay taburkan gulu aising di atas tu dan serpihan coklat masakan... 

 

 


 

Glitter Text Generator at TextSpace.net

 

Nak beri duit raya... tahun ni ekonomi poket tengah merosot...hehehe... maka dengan penuh rasa murah hati iejay telah gantikan duit raya dengan entry terbaru khas untuk Raya E-novel lagu Cinta di rumah iejay satu lagi.Enjoy... 

Di kesempatan ini iejay hendak memohon ampun dan maaf adaripada anda semua andai ada tersilap bicara, tersalah kata mahupun terguriskan hati anda dengan cerita yang iejay paparkan disini... Kepada yang balik ke kampung, selamat pulang ke kampung. Semoga perjalanan anda semua pergi dan balik akan selamat sentiasa. Insyaallah panjang umur, kita jumpa lagi selepas raya... 

Iejay akan mula bercuti daripada 30September hingga 5 Oktober. Insyaallah kalau dapat mencuri masa menaip (idea dah ada tapi nak dekat raya ni sibuk bebenar sebab macam-macam nak kena buat) entry Jumaat 3 Oktober akan tetap ada. Kalau tak dapat, bila masuk ofis pada 6 Oktober iejay akan cuba post kan secepat mungkin...

 *update on 7 oct* sorry entry masih tak siap2 lagi... tak adalah busy sangat pun tapi idea dlm kepala ni tersekat dekat satu ayat tu dan terus effect semangat nak menaip sepenuhnya...hahaha...

Sorry kepada yg tertunggu-tunggu... (ada ke yg menunggu?) sekarang ni iejay dah a bit recover dan sedang berusaha menghabiskan bab 16 yang akan di postkan secepat mungkin...Insyaallah...


iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia