Resepi Hati Dia
Sunday, March 01, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 24

 

"Erdyzuan... hmm... dia tu lelaki yang telah buat kau pengsan dekat klinik hari tu kan? Eh, siapa Erdyzuan tu hah? Aku rasa macam pernah dengar aja nama dia tu."

Apabila Kerol sudah mula dapat mengingati balik empunya nama yang disebutkan oleh Adriana sebagai punca masalahnya tadi, dia terus meluahkan pertanyaan yang tersimpan di dalam benaknya semenjak tiga hari yang lalu.

Tiga hari yang lalu, setelah Adriana mula sedar lelaki bernama Erdyzuan itu berdiri begitu dekat dengannya, Adriana terus sahaja bangun daripada perbaringannya, menarik tangannya daripada genggaman lelaki itu dan kemudian berdiri lalu terus menarik Aryan Hafiz keluar daripada klinik Dr. Faez itu.

Sesungguhnya tindakan drastik Adriana itu telah membuatkan ketiga-tiga mereka iaitu Kerol, Erdyzuan dan Dr. Faez yang masih berada di dalam bilik rawatan tersebut tergamam seketika. Namun apabila mereka bertiga mula tersedar dan berlari keluar untuk mencari Adriana, mereka lihat Adriana sudah pun memecut pergi dengan keretanya daripada situ bersama-sama anaknya Aryan Hafiz.

Melihat pemergian Adriana yang secara mendadak itu, Dr. Faez terus masuk semula ke dalam kliniknya dengan perasaan bingung dengan apa yang berlaku.

Erdyzuan juga turut masuk ke dalam klinik semula untuk menyerahkan not seratus ringgit kepada pembantu klinik sebagai bayaran bil rawatan perubatan Aryan Hafiz dan Adriana sekalipun Dr. Faez tidak sempat memberi deskripsi ubat lagi kepada mereka berdua sebelum lelaki itu turut berlalu pergi daripada situ.

Kerol yang masih tertanya-tanya sendirian akan tindakan Adriana itu, terus berdiri di luar klinik buat seketika memikirkan apa yang harus dibuatnya ketika itu sebelum akhirnya dia tiba-tiba mendapat panggilan daripada pejabat untuk segera ke Kuala Terengganu meninjau tapak projek yang bermasalah di sana. Lalu persoalan hari itu terus tergantung tanpa jawapan daripada Adriana sehinggalah hari ini.

Kerol memang sengaja menunggu untuk bertanya tentang hari itu apabila dia dapat berhadapan dengan Adriana seperti sekarang ini kerana dia tahu sekiranya dia bertanya melalui panggilan telefon sahaja daripada Terengganu, dia tidak akan dapat memaksa Adriana untuk berterus-terang.  

"Erd... Erdyzuan tu... su... suami aku."

"Hah, dia tu suami kau?"

Kerol segera bertanya dengan mata yang hampir terbeliak apabila mendengarkan pengakuan daripada Adriana itu. Adriana pula hanya mengangguk sebagai tanda mengesahkan kenyataannya tadi.

"Ha... ya lah betul... betul... baru aku ingat, dulu kau ada sebut dekat aku nama suami kau Erdyzuan. Jadi itulah rupa suami kau ya? Ya lah selama ni aku mana pernah tengok rupa dia pun. Mana tidaknya, kau tu tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba kata nak kahwin dengan lelaki yang kau baru dua-tiga bulan kenal. Lepas kita bergaduh pasal tu, kita tak pernah pun berhubung lagi sampailah kau kena halau daripada rumah dia kan?"

Begitu selamba dan penuh sinis Kerol menuturkan ringkasan kisah Adriana dan Erdyzuan dahulu. Adriana yang mendengarkan kata-kata Kerol itu, semakin terasa ngilu di hati. Lebih-lebih lagi bila Kerol menyebut peristiwa dia di halau dahulu.

"Bukan aku yang mulakan pergaduhan kita tu. Tapi kau tu yang tiba-tiba naik angin dan langsung tak mahu bertegur-sapa dengan aku dah."

Dengan suara yang separuh menggumam Adriana cuba membela dirinya sendiri walaupun dia tahu dia juga sememangnya bersalah kerana suatu ketika dahulu dia pernah mengetepikan sahabatnya ini ketika dia sedang meniti bahagia bersama Erdyzuan.

"Okay... okay, aku mengaku aku pun salah sebab mudah sangat declare perang dengan kau masa tu. Patutnya aku terus berada di sisi kau untuk pastikan kau tak terpedaya dengan jantan tak guna tu. Aku minta maaf okay? Silap aku. Dulu masa kita mula-mula berkawan, aku pernah janji aku akan sentiasa cuba melindungi kau. Tapi aku tak laksanakan pun janji aku tu bila kau kata kau nak kahwin dengan jantan tu. Aku menyesal betul kerana biarkan kau sendirian masa tu."

"Kerol... dahlah tu. Aku yang salah sebab tak pernah nak hubungi kau bila aku dah kahwin. Aku yang salah sebab hanya hubungi kau bila aku ada masalah aja"

Adriana cuba menenteramkan hati temannya itu yang mula bergalau apabila kisah pedih perkahwinan Adriana dan Erdyzuan dahulu disingkap semula. Adriana tahu betapa Kerol temannya yang baik itu mudah benar rasa bersalah dan menyesal akan tindakannya dahulu apabila Adriana bersedih mengingati kisah perkahwinannya itu.

Tetapi Adriana sendiri tidak pasti, adakah dia menyesal berkahwin dengan Erdyzuan dahulu? Walaupun rumahtangganya yang sekejap cuma dahulu lebih banyak deritanya daripada bahagia, entah mengapa hatinya ini tidak pernah ada terdaftar perkataan kesal. Kalau ada rasa yang termengkelan di hatinya ini pun mungkin hanya rasa terkilan dan kecewa sahaja.

Namun dia juga tahu betapa temannya itu telah banyak berkorban membantu dia untuk bangun semula sehingga berjaya setelah dia merasa amat kecewa dahulu. Selepas dihalau daripada rumah Erdyzuan dahulu, temannya inilah yang membawa dia pulang ke rumah keluarganya untuk duduk berlindung di situ setelah mengetahui apa yang terjadi padanya. Di rumah temannya itulah dia menetap sehingga anaknya selamat dilahirkan dan kafe Aryz One nya mula beroperasi sebelum akhirnya dia pindah ke rumah ini untuk mula berdikari bersama Aryan Hafiz anaknya seperti sekarang ini.

 "Baiklah, senang cerita kau salah; aku pun salah. Dah adil kan sekarang ni? Berbalik pada suami kau tu; itu pun kalau dia tak pernah ceraikan kau lagilah dalam lima tahun ni, apa benda yang jadi masalah sangat pada kau ni pasal dia tu?"

Adriana menelan air liurnya yang kesat apabila Kerol mula mematah balikkan cerita mereka kepada perkara yang dikatakan sebagai punca masalah oleh Adriana sendiri iaitu Erdyzuan!

"Aku... aku sebenarnya risau Kerol... Aku risau sebab dia dah jumpa aku semula. Dia dah tahu aku ada dekat mana sekarang ni."

Kedengaran agak tersekat-sekat suara Adriana meluahkan perkara yang membelenggu dirinya semenjak tiga hari yang lalu.

Lebih lima tahun dahulu, Adriana selalu merasa risau apabila memikirkan kemungkinan kalau-kalau dia akan berjumpa dengan Erdyzuan semula. Dia takut untuk bertentang mata dengan Erdyzuan semula kerana kesudahan cerita mereka lebih lima tahun dahulu adalah dalam suasana tegang. Antara mereka berdua segalanya masih lagi belum beres.

Namun keresahannya itu mula menghilang apabila dia mula selesa dengan tempat barunya bersama anaknya. Pada Adriana, antara dia dan Erdyzuan sememangnya sudah tiada apa-apa lagi semenjak dia dihalau daripada rumah keluarga lelaki itu dahulu; sekalipun Erdyzuan tidak pernah melafazkan cerai ketika menghalaunya dahulu dan dia sendiri tidak pernah meminta cerai sepanjang lima tahun ini.

Dan... kini bila dia ditakdirkan bertemu Erdyzuan semula dalam keadaan yang tidak disangka-sangkanya, kerisauannya suatu ketika dahulu menjelma semula. Lebih-lebih lagi apabila telinganya ini mendengar Erdyzuan mengingatkannya semula siapakah lelaki itu dengan kata-kata 'I'm your Erdyzuan' - nya hari itu.

"Apa benda yang kau nak risaukan? Dulu dia dah halau kau. Dia sendiri yang  dah buang kau daripada hidup dia. Jadi sekalipun dia dah tahu kau ada di mana; dia tahu dekat mana nak cari kau, biarkan sahajalah. Kau tak payah layan dia. Buat-buat aja kau tak kenal dia. Lagipun kau bukannya ada apa-apa hutang lagi dengan dia pun.

Kau tak payah susah-susah nak menyorok dekat tempat lain pula. Lagipun Malaysia ni kecil sajalah Ary. Kau menyorok mana pun, lama-lama akan terjumpa juga. Lainlah kalau kau nak menyorok sebab kau sebenarnya masih sayangkan dia dan kau tu sebenarnya tak boleh lupakan dia lagi. Eh, kau masih sayangkan lagi ke jantan tak guna tu, hah? "

Adriana sedar akan kebenaran bicara panjang lebar Kerol itu. Dia sememangnya tahu bahawasanya tidak guna dia terus melarikan diri sekalipun Erdyzuan sudah berjumpa semula dengannya. Kisah antara dia dengan Erdyzuan kan sudah lama tamat? Lainlah kalau dia masih sayangkan lelaki itu lagi seperti mana kata Kerol.

Tetapi sayangkah lagi dia pada Erdyzuan?

Adriana tertanya sendiri akan perasaannya. Bolehkah lima tahun yang dilaluinya itu melenyapkan seratus peratus rasa kasih dan cintanya pada lelaki yang pertama dibiarkan diri ini dicintai dan mencintai?

Kata orang persoalan hati, tanyalah apa kata hati itu sendiri. Tetapi hati Adriana sendiri bungkam untuk menyatakan jawapannya. Sayangkah lagi hati seorang Adriana pada Erdyzuannya?

 

 

 


Entry seperti yang dijanjikan sekalipun terlambat sedikit post... next entry tak tahu bila pasala dah tak ada entry spare... tengoklah kalau iejay rajin nak menaip... huhuhu...

Kepala seorang iejay ni tengah tak centre... Tgh bermasalah kat pejabat... Situasi iejay sekarang ni dah macam telur dihujung tanduk aja... Tolonglah doa-doakan iejay akan tetap tabah menghadapi semuanya...

p/s: Err... ada sesiapa tahu mana2 tempat yg ada vacancy tak? Gaji kena 2K++ lah (MYR)  hehehe... I wanna run away from here...I start to loath this place....huhuhu...

 


iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:01 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia