Resepi Hati Dia
Wednesday, April 08, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 28

 

 

Erdyzuan mundar-mandir di dalam bilik tidurnya sendirian. Hatinya resah memikirkan apa yang terjadi di Aryz-one Café siang tadi. Entah mengapa apabila dia melihat Adriana menerima jambangan bunga yang agak besar daripada seorang lelaki bernama Mr. K bersama ucapan sayang tadi, hatinya pantas sahaja menjadi radang.

Lalu dengan sengaja, dia terus sahaja menolak kerusi yang didudukinya itu supaya terjatuh supaya mengakibatkan bunyi bising di Aryz-one Café yang sebelumnya itu tenang sahaja suasananya. Dia perasan akan pandangan Adriana dan pekerja-pekerjanya serta budak penghantar bunga tersebut juga beberapa pengunjung lain di kafe tersebut. Biarkan! Biar semua orang terutamanya Adriana tahu yang dia sedang marah. 

Dia sememangnya marah akan Adriana kerana menerima bunga itu. Dia juga merasa marah pada si budak penghantar bunga yang pandai-pandai menghantar bunga kepada isterinya itu. Dia juga sangat-sangat marah kepada lelaki bernama Mr. K yang gatal menghantar bunga pada isterinya Adriana!

Lelaki bernama Mr. K tu tak tahu ke yang di dalam Islam, seorang lelaki tidak boleh mengganggu isteri kepada seorang lelaki yang lain? Malah sekalipun wanita itu baru bergelar tunang atau sudah pun dipinang oleh seorang lelaki, lelaki lain tidak boleh mengusik wanita itu. Sampai dia mati Adriana akan tetap menjadi isterinya. Dia tidak akan sesekali melepaskan Adriana kepada orang lain. Jadi lelaki yang bernama Mr. K itu harus melangkah mayatnya ini kalau mahu memiliki Adriana nya!

'Edyzuan... sabar Erdyzuan...'

Dalam pada dia melayan rasa resah dan amarah nya, kedengaran suara hati kecilnya yang masih lagi tidak ditutupi titik-titik hitam menyuruh dia bersabar. Ya, dia perlu belajar bersabar. Bukankah dia sudah berjanji dengan dirinya untuk tidak lagi mudah marah-marah dan memaksa orang terutamanya kepada Adriana?

Erdyzuan yang ada kini adalah Erdyzuan yang baru. Erdyzuan yang sudah sedar akan kesilapan lalunya kerana terlalu menurutkan nafsunya dan kata hasutan syaitan sehingga dia kehilangan Adriana lebih lima tahun yang lalu. Erdyzuan yang kini bukanlah lagi lelaki yang culas sembahyang dan juga berpuasa. Erdyzuan yang ini merupakan seorang lelaki yang telah insaf daripada kekhilafan nya selama ini.

Lebih lima tahun dia kehilangan Adriana, banyak perkara yang dipelajarinya. Dia belajar menyabarkan hatinya dan tidak lagi marah-marah dengan mudah. Dia belajar untuk menjadi lelaki yang lebih baik dan bertanggungjawab kerana itulah resepinya jika dia mahu membina semula rumah tangga yang bahagia bersama Adriana kelak.

Erdyzuan tahu sebagai lelaki dia perlu bertindak seperti mana mafhum Nabi Muhammad S.A.W yang disampaikan dalam khutbah terakhir baginda pada 9 Zulhijjah di lembah Uranah Gunung Arafah dahulu...

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layani lah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembut lah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. 

Dahulu seawal dua tiga minggu pertama dia menghalau Adriana, dia masih lagi tetap melayan rasa marahnya akan kecurangan Adriana. Ketika itu, dia langsung tidak boleh memandang gambar Adriana mahupun barang-barang Adriana di dalam rumahnya itu. Habis segala barang-barang di rumahnya itu bertabur akibat amukkan dia bila rasa marahnya pada Adriana memuncak kembali.

Apabila Ermilza, adiknya itu mengapi-apikan nya dengan cerita-cerita kecurangan dan sifat buruk Adriana yang dia tahu tetapi kononnya tidak mahu dihebahkan pada si abang sebelum ni, bertambah marak lagilah rasa bencinya pada Adriana.

Malah apa sahaja kata bujukan mamanya untuk meredakan kemarahannya, langsung dia tidak ambil peduli. Sekalipun mama berkali-kali menyarankan dia berfikir secara rasional akan tuduhannya pada Adriana dan mengimbal balik tindakannya itu; dia hanya memandang sepi sahaja suruhan itu. Ketika itu dia menganggap kata-kata mama itu hanyalah semata-mata kerana mamanya mahu membela satu-satunya menantu yang dia ada. Menantu yang kononnya terbaik dan dia tidak akan dapat lagi seperti itu sepanjang hayatnya.

Memikirkan kembali apa yang telah terjadi dahulu, dia dapat merasakan betapa teruknya tindakan dia dahulu. Dia hanya menurutkan kata hatinya dan hasutan Ermilza tanpa usul-periksa. Apabila telah berminggu-minggu dia kehilangan Adriana, barulah terbit rasa sesal di hatinya ini. Bila dia fikir-fikirkan semula akan peristiwa hari di mana dia menuduh Adriana telah curang padanya lalu menghalau wanita itu, barulah dia dapat memikirkan betapa tidak berasas nya tuduhan dia itu.

Lelaki yang dia nampak separuh bogel di atas katil kelaminnya itu sebelum berlari keluar daripada biliknya; telah menyarungkan baju yang jelas adalah seragam juruterbang sekalipun tidak dipakai dengan teratur. Jadi, macam mana Adriana yang sudah lama tidak  bekerja serta dahulunya dunianya hanyalah di sekitar Parkson KLCC, Putra LRT dan rumah boleh berkenalan dengan lelaki itu? Lainlah kalau Ermilza yang pastinya mungkin kenal akan lelaki itu kan?

Lebih menambahkan lagi rasa syak di hati lelakinya ini ialah apabila dia telah terjumpa subang Ermilza di dalam biliknya. Terperosok di celah-celah sudut katil kelaminnya! Setahu dia Adriana tidak pernah memakai subang. Kata isterinya suatu ketika dahulu, dia memang tidak boleh memakai subang langsung. Telinganya ini begitu alergi dengan penggunaan sebarang jenis subang.

Kemudiannya, tuduhannya akan kecurangan Adriana semakin jelas benar-benar kelihatan tidak berasas apabila dia telah terserempak dengan Ermilza sedang berjalan berdua-duaan sambil berkepit-kepit di kompleks membeli-belah KLCC bersama-sama lelaki yang dia tuduh telah bermukah dengan Adriana itu!

Tetapi ketika itu, rasa menyesalnya sememangnya sudah tidak berguna lagi. Adriana sudah pun di halaunya daripada rumah ini. Jejaknya langsung tidak dapat dikesan sekalipun dia sentiasa meliarkan matanya apabila ke mana-mana; dengan harapan dia akan terserempak Adriana di pertengahan jalan.

Rasa marahnya pada Ermilza ketika itu usah diperkatakan. Dia benar-benar bertekad tidak mahu untuk memaafkan satu-satunya adik yang dia ada itu sampai dia mati. Sampai hati sungguh Ermilza merancang sebegitu sekali semata-mata kerana benci kan Adriana. Selama ini dia tidak pernah menyangka Ermilza lah yang benci akan Adriana. Dia ingatkan Adriana yang salah kerana tidak mahu cuba berbaik-baik dengan adiknya itu. Rupa-rupanya adiknya itulah yang sebenarnya telah memulakan segala angkara selama ini.

Bila dia menyemburkan segala rasa marahnya akan onar Ermilza itu, barulah terbongkar segala rahsia selama ini. Barulah dia tahu adiknya itu sudah lama memendam rasa dendam pada Adriana kerana peristiwa di zaman persekolahan mereka. Barulah juga dia tahu, Emilza lah yang telah menyebabkan Adriana keguguran akan kandungan pertamanya dahulu.  Namun rasa sesalnya itu sudah tidak berguna lagi. Adriana sudah pun pergi daripada hidupnya ketika itu.

Kadang-kadang terselit rasa kesal di hatinya ini. Kalaulah Ermilza tidak menolak Adriana dahulu dan kandungannya tidak gugur, pastinya anak mereka itu kini sudah pun menjejak alam tadika. Pastinya Erdyzuan akan hidup bahagia dengan Adriana dan anak-anak mereka.

Ah, sudahlah diingat-ingatkan kembali impian yang mustahil itu. Lagipun Ermilza sendiri sudah tiada lagi di sisinya ketika ini. Apa yang penting saat ini adalah dia mahu Adriana memaafkannya semula dan menerimanya kembali dalam hidup wanita itu walaupun adakala nya dia merasa begitu lelah untuk menawan semula hati seorang Adriana.

Adriana yang kini bukan lagi seperti Adriana yang dikahwininya dahulu. Sekalipun fizikal Adriana masih tidak banyak berubah, cara berpakaiannya juga tidak berubah; masih lagi bertudung dan nampak sangat cantik dengan pakaiannya yang selalu santai iaitu jeans dan baju-T lengan panjang sahaja, Adriana kini semakin dingin dengannya. Adriana sekarang ini bukan lagi wanita yang sentiasa bersedia mengalah dengannya.

Sudah berminggu-minggu dia berulang-alik ke Aryz-one Café siang dan malam untuk bertemu Adriana. Sudah bermacam-macam kata pujukan rayu dihadiahkan buat si isteri, namun Adriana tetap mempamerkan rasa dinginnya pada Erdyzuan. Kadang-kadang Erdyzuan tidak tahu apa lagi yang patut dibuatnya untuk mengambil hati seorang Adriana semula. Tetapi dia tidak boleh mengalah! Kalau dia mahu menyambung semula menyulam bahagia bersama-sama Adriana dan anak-anak mereka kelak, dia tidak boleh putus asa.

'Anak?'

Tiba-tiba bagaikan ada satu lintasan terdetik di hati Erdyzuan apabila menyebut perkataan itu. Dia teringat akan satu fakta penting yang telah hampir dilupakannya. Adriana sedang mengandung ketika dia dihalau dahulu!

Dia tahu tentang itu pun melalui alat penguji kehamilan bertanda positif yang dia jumpa di dalam bilik air kamar tidurnya selepas Adriana dihalau dahulu. Dia sedar yang alat itu pastinya milik Adriana kerana bukankah kali pertama disahkan hamil dahulu Adriana telah meletakkan alat yang serupa di dalam bilik air mereka sebagai cara untuk memberitahu berita gembira itu padanya? Lagipun sebelum dia ke pelantar minyak di Sabah dahulu, dia amat yakin yang Adriana telah terlewat kitaran haidnya daripada biasa.

Dahulu apabila menyedari yang Adriana telah dihalaunya dalam keadaan isterinya mengandung, Erdyzuan benar-benar meratap akan tindakannya itu. Sesungguhnya dia bukan sahaja menghalau Adriana daripada hidupnya, tetapi dia juga telah menghalau zuriatnya bersama-sama. Betapa kejamnya tindakan dia sebelum ini!

'Ayan... Aryan Hafiz...'

Nama kanak-kanak lelaki yang dia terlanggar beberapa minggu yang lalu bermain-main di mindanya. Budak itu anak Adriana, isterinya. Ya lah, Adriana membahasakan dirinya ibu pada kanak-kanak itu. Anak kecil itu juga mengadu rasa sakitnya pada Adriana. Kalaulah anak itu yang umurnya dia agak-agak dalam lingkungan empat tahun lebih adalah anak Adriana, pastinya anak kecil itu adalah... anak dia juga!

Lima tahun dahulu, Adriana dihalau dalam keadaan mengandung. Dalam tempoh itu, pastinya kandungannya itu sudah pun selamat dilahirkan dan sebesar kanak-kanak lelaki bernama Aryan Hafiz itu kan? Lagipun wajah kanak-kanak lelaki itu memang jelas ada iras-iras cina dan Serani. Erdyzuan memang sudah jelas daripada keturunan baba nyonya di sebelah mamanya dan Adriana pula memang berwajah Serani sekalipun isterinya itu sendiri tidak tahu asal-usulnya sangat. Jadi memang betullah kanak-kanak lelaki itu adalah anaknya!

Memikirkan penemuan terbarunya itu, membuatkan Erdyzuan tersenyum lebar. Dia ada anak bersama Adriana! Aryan Hafiz itu adalah anaknya. Adriana pasti tidak akan mempunyai alasan untuk terus lari daripada dirinya ini lagi.

Kenapalah beberapa minggu ini dia langsung tidak tersedar akan perkara ini? Sedangkan kerana dia telah terlanggar anaknya itulah yang telah membawa kepada pertemuannya semula dengan Adriana.

Erdyzuan yakin, peluangnya untuk memiliki Adriana semula kini semakin cerah. Dia bukan sahaja akan memiliki Adriana semula tetapi anaknya juga. Kalau Adriana berlagak begitu payah untuk dipikat semula, kini dia sudah ada strategi baru untuk menawan semula hati isterinya itu. Dia akan cuba mendekati Aryan Hafiz, anaknya dahulu!

"Boy... kamu buat apa tu?"

Segala perancangan di kepala Erdyzuan bercempera pergi apabila mendengarkan suara mama menegur dirinya ini di muka pintu bilik tidurnya. 

"Tak ada apa-apa Ma. Err... tengah fikir pasal kerja  sahaja tadi."

Dengan senyuman nipis segaris, Erdyzuan menjawab soalan mamanya itu. Sampai saat ini, dia masih belum lagi memberitahu mama yang dia sudah jumpa Adriana semula. Biarkanlah dahulu... Nanti bila dia sudah dapat mencapai kepercayaan Adriana semula, barulah dia akan memberi khabar gembira itu buat mamanya.

Erdyzuan tahu betapa mama memang berharap dapat berjumpa dengan Adriana semula. Mamanya itu benar-benar rasa bersalah atas apa yang telah dilakukan oleh Erdyzuan dan Ermilza pada Adriana dahulu. Pada tanggapan mamanya, apa yang berlaku dahulu adalah salah dia kerana tidak pandai mendidik anak-anaknya sendiri sampai menganiaya hidup Adriana. Mama juga bersedih kerana ketika Adriana dituduh curang dan dihalau oleh Erdyzuan dahulu, dia tiada di rumah untuk membantu membela menantunya itu.

Tetapi pada Erdyzuan, dia tidak mahu mama menanggung beban itu selama-lamanya. Mama tidak pernah bersalah dalam hal itu. Dia dan Ermilza lah yang sebenarnya bersalah. Mereka sudah cukup dewasa untuk menanggung setiap perbuatan mereka itu. Erdyzuan sedar, selama ini dia tidak pernah menjadi anak yang baik buat mamanya. Dia dan Ermilza hanya mengikut kata hati mereka sahaja kerana konon tertekan dengan penceraian mama dan papa mereka lebih lima belas tahun lalu.

Dahulu Erdyzuan tidak sedar tindakannya yang sentiasa mengikut hati dan sifat baran nya itu semakin mendera perasaan mama yang sudah sedia tercalar. Sudahlah mama kecewa kerana tiba-tiba diceraikan oleh papa setelah lebih dua puluh tahun mereka berkahwin.

Dilepaskan pula atas alasan papa mahu berkahwin dengan seorang perempuan berbangsa cina warganegara Australia yang pada asalnya di upah untuk menguruskan pengubahsuaian rumah mereka suatu ketika dahulu. Wanita yang sebelum itu dianggap mama sangat baik kerana begitu lemah-lembut dan sungguh memahami apabila berurusan dengan mama ketika membincangkan konsep yang mereka mahu terapkan pada pengubahsuaian rumah ini.

Lalu atas sebab-sebab itu mama terus-terusan makan hati seorang diri. Mama menyibukkan dirinya dengan aktiviti-aktiviti di luar rumah untuk memendamkan segala lara yang begitu sebu di hatinya. Rumah yang sudah cantik diubahsuai itu sekalipun diserahkan oleh papa secara rela kepada mama kerana dia mahu berhijrah ke Australia dengan isteri barunya itu, sudah tidak bererti lagi kepada mama.

Bertambah duka di hati mama apabila Ermilza semakin liar kelakuannya. Pelajarannya menjadi tidak menentu, pergaulannya pula semakin bebas sehingga mama sudah tidak mampu mengawalnya lagi. Edyzuan pula sebagai anak lelaki tunggal dan abang yang sulung di dalam rumah itu, langsung tidak ambil peduli akan hal-ehwal kehidupan si adik yang terlalu sosial dan lara si mamanya. Dia hanya sibuk memikirkan rasa marahnya pada papa sahaja.    

Bila Erdyzuan membawa balik Adriana sebagai menantu di rumah ini, dia perasan mama mula nampak ceria sedikit. Kehadiran Adriana perlahan-lahan telah mengubati hati mama yang lara. Maka sebab itulah mama begitu sedih dan kecewa apabila Erdyzuan menuduh Adriana curang dan menghalau isterinya itu dahulu.

Kini tahap kesihatan mama semakin hari semakin merosot. Mama telah disahkan oleh doktor mempunyai penyakit tiga berangkai - jantung, darah tinggi dan buah pinggang. Mama sentiasa nampak lemah sahaja kebelakangan ini.

"Boy, tak nak makan ke?"

Sebenarnya Erdyzuan masih terasa kenyang lagi. Kenyang kerana menikmati Quiche Tuna with Cheese hasil masakan isterinya yang dirinduinya selama lima tahun ini siang tadi dan kenyang denagn rasa cemburu serta marahnya pada Mr. K! Namun kerana tidak mahu menambah rasa risau mamanya lagi, dia memberkan alasan yang dirasakan wajar pada emaknya itu.   

"Hmm... Boy rasa kenyang lagi sebenarnya. Tak apa, sekejap lagi Boy turun makan ya Ma."

Puan Melisa hanya mengangguk lemah mendengarkan jawapan anak lelakinya itu sebelum dia melangkah pergi daripada bilik itu. Namun apabila teringat akan sesuatu yang hendak disampaikan pada satu-satunya anak yang dia ada kini, dia berpatah balik semula ke bilik anak lelakinya itu.

"Boy... Ma lupa nak pesan. Myra kata, dia minta Boy balik cepat sedikit esok. Dia nak suruh papanya belikan KFC untuk dia."

Mendengarkan permintaan itu, Erdyzuan terpempan seketika. Kebelakangan ini, dia terlalu leka dengan aktiviti barunya iaitu mengunjungi Adriana di Aryz-one Café siang dan malam. Dia begitu taasub dengan keinginannya untuk menawan hati Adriana nya kembali sehingga dia terlupa pula akan kewujudan Myra Adrina dalam kehidupan seharian dia.

Sedangkan sejak tiga tahun yang lalu, Myra Adrina si puteri cilik itulah si jantung hatinya ini. Anak kecil itu adalah amanah ALLAH yang telah diikrarkan dia untuk menjaga sehingga ke akhir hayatnya nanti.

Tadi ketika dia sampai di rumah pada jam sembilan malam, mama beritahu Myra sudah pun tertidur. Lalu dia terus naik ke biliknya sahaja dan berfikir akan hal bunga yang diterima Adriana tadi dan Aryan Hafiz yang baru disedari kewujudannya tanpa menjenguk langsung bilik anak daranya itu seperti biasa.

"Hmm... tak apalah Ma, esok Boy balik awal ya. Nanti Boy singgah beli KFC untuk Myra sebelum balik."

Masih dengan senyuman segarisnya tadi, Erdyzuan segera menuturkan janjinya kepada mama untuk menunaikan hajat puterinya itu esok.

 

 

 


Entry yg sangat panjang... 11 mukasurat MSwords... this entry sebenarnya adalah drp 2 bab tapi iejay cantumkan jadi satu... so next entry @ 8th last entry iejay letak minggu depan ajalah... before KLIBF start... maybe hari rabu juga... Insya-Allah...

 

Sekalipun iejay tahu mama & abah iejay tak pernah dan tak akan sesekali baca blog anakanda dia ni, iejay tetap nak wish Happy Birthday to both of them...(sibuk nak wish macamlah langsung tak jumpa dia org kat rumah...hehehe) My mum's birthday fall today 8 April, Abah pula semalam 7th April...  


iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka (2)  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia