Resepi Hati Dia
Wednesday, April 15, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 29

 

Sebaik sahaja Erdyzuan melangkah masuk ke dalam Aryz-one Café dan nampak Aryan Hafiz sedang duduk sendirian di meja yang paling hujung sekali di kafe tersebut sambil tengah mewarnakan buku bergambar kartun Mickey Mouse; dia pantas mendekati kanak-kanak lelaki itu dan mengambil tempat di hadapan Aryan sebelum menghulurkan tegurannya yang pertama.

"Hi..."

"Hi..."

Hanya mengangkat mukanya sedikit dan membalas ringkas ucapan Erdyzuan itu tadi, Aryan Hafiz kembali menumpukan perhatiannya semula pada kerja mewarnainya tadi.

"Err... Aryan tengah buat apa tu?" 

"Ayan tengah colour Mickey..."

Kali ini, tanpa mengangkat mukanya langsung Aryan Hafiz menjawab pertanyaan Erdyzuan itu. Erdyzuan pula terasa mati kutu melihat reaksi Aryan Hafiz sebegitu. Dia tidak tahu apa yang patut diucapkannya lagi untuk menarik perhatian kanak-kanak lelaki di hadapannya itu.

"Ibu Aryan mana?"

Daripada dia melangkah masuk ke dalam Aryz-one Café tadi, Erdyzuan langsung tidak ternampak kelibat Adriana ada di mana-mana. Dia tidak tahu apa reaksi Adriana apabila nampak dia bertegur-sapa dengan Aryan Hafiz seperti ketika ini. Tetapi sekiranya isterinya itu tidak suka dan cuba menghalang dia merapati Aryan Hafiz, dia tetap akan mempertahankan haknya sebagai seorang bapa kepada anak ini. Dia perlu kenal dengan anaknya sendiri. Dia mahu anaknya ini tahu yang papanya masih lagi wujud dan sayangkan nya.

"Ibu tak ada... ibu... err... ibu pergi mana ek? Hmm... abang Pat, ibu Ayan pergi mana hah?"

Aryan menjawab soalan Erdyzuan dengan teragak-agak tentang ke mana ibunya pergi sebelum akhirnya dia mengalihkan pertanyaan itu kepada abang Fadly, salah seorang pekerja kafe ibunya yang sedang menyusun buku tidak jauh daripada situ sambil tolong melihat-lihat akan keadaan Aryan Hafiz sejak tadi.

Hari ini, daripada awal pagi lagi Aryan sudah ikut ibu pergi ke kafe sebab dia terasa macam malas hendak pergi ke school. Tapi tadi ibu kata dia kena tinggal dengan Abang Pat sekejap sebab ibu hendak keluar buat seketika. Ibu kata dia hendak pergi ambil buku dan dia tidak dapat untuk bawa Aryan bersama-sama dia, jadi dia suruh Aryan habis warnakan buku ini dahulu sementara tunggu ibu balik semula ke sini.

"Ibu Ayan pergi jumpa supplier sekejap."

Fadly menjawab soalan yang ditanyakan Aryan padanya itu; yang dia tahu jawapan itu lebih kepada untuk pengetahuan lelaki yang sedang duduk berhadapan dengan Aryan ketika ini. Seingat dia lelaki inilah yang datang berjumpa dan merayu pada Adriana ketika dia sedang menemani ketuanya itu menutup Aryz-one Café di suatu malam beberapa minggu yang lalu. Lelaki inilah juga yang menjadi topik perbualan pekerja-pekerja kafe ini semenjak dua menjak ini kerana saban hari muncul di Aryz-one Café ini dan cuba mengambil hati Adriana tetapi langsung tidak pernah diendahkan oleh Adriana.

"Ha... ibu Ayan pergi jumpa ss-playar."

Dengan ramah Aryan menjawab soalan Erdyzuan itu; mengulang semula jawapan Fadly tadi sekalipun agak terbelit lidahnya hendak menyebut semula perkataan supplier itu. Bibir si anak kecil itu tersenyum riang kerana akhirnya dia dapat memberikan jawapan kepada lelaki yang sedang duduk di hadapannya ini.

"Aryan ingat Pa... err... Uncle lagi tak?"

Melihat Aryan sudah mula memberikan respons yang lebih positif berbanding jawapan satu perkataan sahaja ketika lima minit pertama mereka bertentang mata tadi; Erdyzuan terus mengajukan soalan yang ingin sangat diketahuinya sejak dia mula menyedari Aryan Hafiz adalah darah dagingnya sendiri. Dalam keterujaan nya itu, hampir-hampir sahaja bibirnya ini membahasakan dirinya sebagai Papa. Namun nasib baik dia sempat untuk mengubah kata ganti nama dirinya itu. Dia tidak mahu terus menerjah Aryan yang baru hari ini dia mempunyai kesempatan untuk berhadapan.

"Hmm... Uncle ni yang... hmm..."

Aryan Hafiz memandang wajah Erdyzuan dalam-dalam; cuba mengingati dimana dia pernah nampak wajah lelaki dihadapannya ini.

"Aryan ingat lagi tak hari tu kita ada jumpa dekat klinik depan sana? Uncle, orang yang terlanggar Aryan hari tu. Ingat lagi?"

Sebelum sempat Aryan memberikan jawapannya, Erdyzuan pantas memintas menyatakan jawapan; memberi klu pada Aryan yang masih terfikir-fikir di mana dia pernah nampak wajah Erdyzuan ini.

"Oh... ha, ya lah tu... betul... betul... betul..."

Mendengarkan penerangan Erdyzuan itu, Aryan mengiakan sahaja akhirnya. Sedangkan di dalam kepalanya tadi, dia terfikir untuk mengagak jawapan yang Uncle di hadapannya ini adalah lelaki yang pernah dia nampak gambarnya di dalam bilik tidur ibu. Tetapi dia masih teragak-agak kerana dia hanya pernah ternampak sekali dua sahaja gambar itu secara tidak sengaja di dalam bilik ibu. Hari-hari lain bila dia cuba cari gambar itu, dia langsung tidak nampak di mana ibu letakkan gambar tersebut.

Aryan pernah tanya ibu, gambar siapa itu? Ibu cuma jawab itu gambar suami ibu. Aryan tidak berani hendak tanya lebih-lebih sebab ibu pasti tidak akan jawab dan nanti muka ibu mesti nampak sedih selepas itu. Tetapi Aryan pernah tanya cikgu dekat school, apa dia itu suami? Cikgu kata, suami itu ialah seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan macam ibu dan kemudian mereka akan dapat anak macam Aryan. Jadi kalau lelaki yang di dalam gambar dekat bilik ibu itu adalah suami ibu, lelaki itu juga mestilah ayah Aryan kan?

Aryan sendiri tak pernah kenal siapa ayah dia. Ibu kata ayah Aryan duduk jauh daripada mereka. Ayah Aryan ada jauh dekat laut, sebab itu dia tidak boleh hendak balik jumpa Aryan selama ini.

"Uncle sorry sangat ya Aryan sebab terlanggar Aryan hari tu. Uncle tak sengaja nak langgar Aryan. Aryan masih rasa sakit lagi ke sebab kena langgar hari tu?"

Melihatkan Aryan Hafiz tiba-tiba senyap agak lama selepas mengiakan jawapan kepada soalan sama ada dia ingat siapa Erdyzuan ini tadi; Erdyzuan pantas bertanya akan keadaan anak itu. Dia takut bila dia tanpa sengaja telah mengingatkan Aryan tentang peristiwa kemalangan yang dilalui anak itu beberapa minggu yang lepas; Aryan mengalami rasa terkejut dan jadi tidak sukakan dia kerana dialah yang telah melanggar anak itu.

"Taklah. Ayan dah tak rasa sakit pun. Ayan kan Ben 10 (Ben-ten). Ben 10 tu kuat tau Uncle. Ben 10 mana boleh rasa sakit."

"Ben 10?"

"Haah, Ben 10. Uncle tengok ni, Ayan jadi Ben 10. It's hero time... Super power Ben 10!"

Dengan penuh semangat Aryan terus berdiri dan menyebut tag line daripada rancangan kartun kegemarannya Ben 10 sambil menekan alat permainan yang melingkari pergelangan tangan kanannya. Apabila ditekan, kedengaran alat tersebut mengeluarkan bunyi muzik dan tag line yang sama dengan apa yang disebut oleh Aryan tadi.

"Oh, Aryan ni Ben 10 ya... Hmm... Apa yang Aryan pakai pada tangan Aryan tu?"

Erdyzuan tersenyum lebar melihat gelagat Aryan Hafiz yang nampak ligat itu.

"Ni Omnitrix lah Uncle. Nanti Ayan boleh tukar jadi Four Arms macam Ben 10. Ayan suka Four Arms.Tapi kan Uncle, Canon Ball pun best juga. Dia boleh pusing-pusing dan langgar alien. Uncle nak jadi apa? Uncle jadi Canon Ball nak tak?"

"Ha... okey-okey Uncle jadi Canon Ball."

Aryan Hafiz bercerita dengan bersungguh-sungguh pada Erdyzuan tentang hero kesukaannya itu. Erdyzuan pula hanya mengangguk-angguk mendengarkan cerita Aryan itu. Diminta Aryan supaya dia jadi Canon Ball yang sumpah dia tak tahu apakah bendanya itu pun diiakannya sahaja tanpa banyak soal. Sesungguhnya dia memang terkebil-kebil mendengar cerita Aryan tentang Ben 10 itu.

Selama ini bila bersama Myra Adrina, anaknya itu hanya sukakan kartun seperti Mickey Mouse, Tiger and Pooh dan Little Einstein. Alat permainan pilihan puterinya itu pula hanyalah alat masak-memasak dan anak patung Barbies sahaja. Tapi yalah, Aryan ini kanak-kanak lelaki dan Myra Adrina itu kanak-kanak perempuan. Tentu sahaja cita rasa mereka berdua berbeza kan?

Dalam hatinya ketika ni, Erdyzuan bertekad untuk Google mencari maklumat tentang Ben 10, hero kesukaan Aryan ini apabila dia balik ke ofis nanti. Mulai hari ini dia akan belajar untuk memahami segala yang disukai oleh Aryan Hafiz, anaknya ini.

"Aryan dah sekolah ke?"

"Dah. Tapi hari ni Aryan tak nak pergi school sebab Apit tu jahat lah Uncle. Dia tu suka ejek Ayan lah Uncle."

"Apit? Apit tu siapa Aryan?"

"Apit tu kawan Ayan dekat school."

Hari ini Aryan memang malas hendak pergi ke sekolah disebabkan hal semalam. Semalam, masa dia di school yang mana sebenarnya adalah taska di sebelah rumahnya sahaja, Apit budak yang paling suka membuli di situ telah mengejek dia semasa mereka tengah bermain tangkap-tangkap.

Bila Apit yang berbadan besar itu tidak dapat hendak tangkap Aryan, tiba-tiba dia terus ejek-ejek diri Aryan ni; dia kata Aryan tak ada ayah sebab ayah Aryan dah lari. Lalu Aryan jadi marah dan dia terus tendang kaki Apit. Kemudian Apit yang kaki buli itu tetapi kuat menangis bila orang pukul dia walaupun sedikit sahaja telah pergi mengadu pada cikgu yang Aryan pukul dia. Cikgu pula terus marah Aryan dan tak beri Aryan main lagi dengan kawan-kawan untuk hari itu.

Jadi atas sebab itulah hari ini dia tidak mahu pergi school. Ibu Aryan tidak kisah pun sebab Aryan budak kecil lagi. Ibu kata Aryan baru empat tahun. Nanti kalau Aryan dah enam tahun, barulah Aryan kena pergi sekolah tiap-tiap hari.

Selalu kalau Aryan tidak pergi school, Aryan akan ikut ibu datang ke sini. Kalau tidak pun, Aryan akan pergi rumah Atuk Kamarul dan main-main di sana sampai ibu datang ambil Aryan pada waktu petang. Kadang-kadang Atuk Kamarul atau anak dia Kerol akan bawa Aryan keluar pergi jalan-jalan (Nota: Kerol tu memang tak patut sungguh minta Aryan panggil dirinya Kerol juga sama macam cara Adriana panggil dia. Katanya dia akan terasa macam terlalu tua sahaja kalau ada sesiapa meletakkan pangkat di hadapan namanya. Dia ingat orang Malaysia ni boleh sahaja terima budaya seperti orang Inggeris yang gunakan panggilan nama apabila sahaja bercakap dengan seseorang tanpa mengira jarak usia).

Ibu pula jarang bawa Aryan keluar berjalan-jalan sebab ibu selalu kata dia ada banyak kerja yang hendak dibuat. Kalau ibu bawa Aryan pergi berjalan-jalan pun, mereka hanya pergi tempat yang dekat-dekat sini sahaja macam Pasaraya Giant.

Sedangkan Aryan Hafiz tidak pernah tahu hakikatnya yang selama ini, Adriana tidak mahu membawa Aryan berjalan jauh-jauh sebab dia takut terserempak dengan Erdyzuan. Sebab itu dia serahkan tugas membawa Aryan berjalan-jalan pada Atuk Kamarul dan Kerol sahaja.

"Aryan... Uncle kena balik dulu. Uncle nak kena masuk ofis. Esok Uncle atang lagi okey? Nanti Aryan boleh ceritakan tentang Ben 10 atau fasal school lagi pada Uncle macam hari ni ya?"

Setelah melihat waktu pada jam di pergelangan tangannya sudah mencecah angka 10.30 pagi, Erdyzuan segera meminta diri daripada si anak kecil itu. Kalau ikutkan hati, dia sememangnya mahu menghabiskan lebih banyak masa lagi dengan anaknya ini.

Tetapi apakan daya kerana dia ada tugas lain menanti di pejabat. Jam 12 tengah hari nanti dia ada lunch meeting dengan pelanggan syarikatnya. Agak-agak kalau dia minta setiausaha dia telefon pelanggannya itu dan minta alihkan tempat pertemuan untuk mesyuarat mereka nanti di Aryz-one Café ni pun boleh tak? Suasana di kedai isterinya ini pun boleh tahan bagus juga untuk di adakan lunch meeting.

"Okey... esok Aryan tunjuk pada Uncle mainan Ben 10 Ayan yang ibu beli ya? Nanti Ayan cakap pada ibu, esok pun Ayan tak nak pergi school macam hari ni juga. Ayan nak main dengan Uncle."

Dengan sengihan penuh lebar Aryan menerangkan perancangan dia esok. Sesungguhnya dia rasa seronok hari ini sebab dia dapat berkenalan dengan Uncle ini yang dia boleh bercerita pasal Ben 10 dan pasal kawan-kawan dia dekat school; Uncle yang muka dia macam muka suami ibu dan bukan ke cikgu ada cakap suami ibu itu maksudnya adalah ayah kepada Aryan juga...

 

 

 


Isy...sungguh iejay tak reti nak buat dialog budak-budak sekalipun iejay ni masih kategori kanak-kanak ribena... hahaha... Ni pun suruh adik iejay tolong proof read part Ben10 tu (cis, ada ke patut dia gelakkan kakak dia ni)... Apa pun hopefully you all enjoy membacanya... 

Next entry selepas KLIBF ek...

masa tu mungkin terjawab pasal siapa Myra Adrina...huhuhu.... 

 Pada yg tak pasti mcm mana gaya Aryan dengan aksi Ben 10 dia tu, ni ada contoh dia....

Eh, ni bukan Aryan Hafiz ya... ni my anak dara Qaisara... sekalipun dia girl, dia pun minat Ben 10...huhuhu dah nasib...

 

Yaiy... Akhirnya saat yang dinanti-nantikan tiba juga... Pesta Buku Antarabangsa @ Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF) 2009... Buat kali ke-28

(nak dekat sama umur iejay lah pula... agaknya pasal tu iejay ni gila buku... hahaha tahapa-hapa punya teorilah iejay buat...)

 

Tahun ini iejay  akan menyerbu seperti biasa ke PWTC untuk sama-sama memeriahkan acara yang dinanti-nantikan oleh semua ulat buku @ kutu buku dan juga habiskan duit gaji bulan Mac untuk memborong buku-buku sekalipun buku yg tak tebaca dan baru selak-selak sedikit aja masih bersusun setinggi tuan punya badan (termasuk buku yg dibeli di pesta buku tahun lepas)...

 

Tahun ini juga iejay akan hadir sebagai Iejay Zakaria, di booth NBkara di Tun Razak Hall 3: 3099 & 3122
Boleh lihat jadual di bawah ini ya...

 

 

p/s: memandangkan ofis iejay dengan PWTC tu ala-ala sekangkang-kera aja jauhnya, pada 20-23 April Insya-Allah iejay akan singgah di booth pada jam 1-2 petang. Tahun depan tak ada peluang dah sebab ofis dah jauh....huhuhu....





ImageChef.com Poetry Blender


iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia