Resepi Hati Dia
Thursday, May 14, 2009
Resepi Hati Dia - Bahagian II - BaB 33

 

"Ary... apa kata kita bawa Ayan pergi Gold Coast awal bulan depan nak tak? Ayan boleh jumpa grandpa dia. Nanti kita bawa dia pergi theme park dekat sana dan bolehlah dia tengok semua watak kartun kegemaran dia secara live. Dia mesti suka kan?"

Adriana yang sedang duduk sambil melihat-lihat buku aliran tunai kedainya sejak tadi pantas mengangkat mukanya dan memandang Erdyzuan yang tiba-tiba mengajukan cadangan tersebut dengan dahi yang berkerut. Erdyzuan mengajak dia bawa Aryan pergi ke Gold Coast? Biar benar suaminya ini?

Sebagai jawapan kepada soalan Erdyzuan tadi, Adriana hanya menggelengkan kepalanya sahaja tanda tidak bersetuju. Dia tidak faham betul dengan fiil Erdyzuan kebelakangan ini. Agaknya suaminya ini ingat, bila Adriana telah bersetuju mengikut dia dan Aryan ke taman tema Genting Highland dan kemudiannya ke pergi menyaksikan kunang-kunang di Kuala Selangor baru-baru ini mereka kini sudah boleh ke sana dan ke sini macam satu unit keluarga yang sememangnya bahagia kah?

Walaupun dia kini sudah boleh duduk berhadapan semeja dengan Erdyzuan seperti ketika ini dan sudi mengikut Erdyzuan dan Aryan berjalan-jalan; yang mana sebenarnya lebih kepada dia hendak memastikan Erdyzuan tidak ada niat untuk terus melarikan Aryan, dia masih lagi tidak dapat hendak menerima Erdyzuan kembali sepenuhnya seperti mana suatu ketika dahulu.

"Kenapa tak mahu pula?"

"Sebelum Ary beritahu kenapa, ada sesuatu Ary nak tanyakan pada Zuan. Zuan mengajak Ary bawa Ayan ke Gold Coast nak jumpa grandpa dia, Zuan ni dah berbaik-baik ke dengan papa Zuan tu?"

Setahu Adriana Erdyzuan cukup membenci papanya itu kerana penceraian yang telah berlaku di antara papa dan mamanya. Adriana masih ingat lagi, dahulu ketika kunjungannya ke sana bersama Erdyzuan semasa mereka berbulan madu dahulu, hanya sekejap sahaja mereka singgah berjumpa bapa kepada suaminya itu. Itu pun Erdyzuan mengaturkan supaya mereka berjumpa di salah satu kafe di bandar Gold Coast sahaja dan meminta papanya tidak membawa isteri barunya itu bersama-sama.

"Hmm... sekarang ni Zuan dan papa dah agak okey lah juga. Walaupun Zuan tak pernah lagi jumpa papa selepas kali terakhir kita jumpa dia masa pergi berbulan madu dahulu, rasanya Zuan tak lagi membenci dia macam dahulu. Sekarang ini paling-paling sebulan sekali kami akan berhubung melalui telefon.

Entahlah Ary... Bila dah semakin dewasa begini, Zuan tahu Zuan tak sepatutnya melayan perasaan benci Zuan tu sangat. Zuan sedar yang setiap manusia tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan dalam hidup ini. Kita bukannya Rasulullah s.a.w. yang maksum sifatnya. Memang Papa buat salah dengan menceraikan Ma semata-mata untuk bersama seorang perempuan muda yang akhirnya meninggalkan dia seorang diri bila dia jatuh sakit. Tapi dia mungkin dah terima balasannya bila dia terpaksa menghabiskan masa tuanya seorang diri di sana.

Zuan juga ada buat kesilapan dalam hidup ini. Zuan hampir-hampir hancurkan perkahwinan kita. Zuan tuduh Ary curang dan halau Ary keluar sehingga Zuan kehilangan Ary untuk lima tahun lamanya. Sedangkan Ary tak pernah pun buat salah pada Zuan. Malah Ary adalah seorang isteri yang terbaik dan tak akan dapat Zuan cari penggantinya. Ary... Ary masih tak dapat nak maafkan kesalahan Zuan lagi ke?”

Adriana menjadi bungkam seketika apabila mendengarkan penerangan Erdyzuan tentang keadaan bapa mentuanya dan luahan penyesalan suaminya itu yang buat ke sekian kalinya. Dia sedar sudah berkali-kali Erdyzuan menyatakan perasaan sesalnya akan apa yang pernah terjadi di antara mereka dahulu dan meminta maaf daripada dia. Namun entah mengapa Adriana masih lagi terasa sukar untuk memberikan kata maafnya kepada Erdyzuan.

Adriana tahu maaf-memaafi itu adalah satu sifat yang terpuji. Islam sendiri menggalakkan umatnya saling memaafi. Kata orang maaf itu dendam yang terindah. Tetapi wajar kah dia memaafkan suaminya itu andai dia masih tidak dapat melupakan apa yang telah terjadi di antara mereka berdua dahulu?

"Zuan pernah dengar cerita tentang seorang pemuda yang mudah marah dan selalu melukakan hati orang-orang di sekelilingnya dengan sifat marahnya itu?"

Tanya Adriana pada Erdyzuan secara tiba-tiba dan suaminya itu hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak pernah.  

"Dikisahkan pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda yang mudah sangat merasa marah. Lalu pemuda itu diberi oleh bapanya sebekas paku dan tukul supaya dia menukul pada satu sudut rumah dengan sebatang paku bagi setiap hari yang dia terasa marah. Maka setiap kali dia merasa marah, dia pasti akan laksanakan apa yang disuruh oleh bapanya itu sehinggalah akhirnya dia tidak lagi memaku pada dinding itu kerana sudah dapat mengawal kemarahannya.

Kemudiannya bapanya memberikan arahan baru supaya si anak mencabut pula satu paku pada dinding tersebut bagi setiap hari dia dapat mengawal kemarahannya. Pemuda itu pun melakukannya seperti yang diarahkan sehinggalah habis semua paku telah dicabut daripada sudut dinding rumah mereka. Bila sudah tiada lagi paku hendak dicabutnya pada dinding rumah tersebut, bapanya pun mengucapkan syabas pada anaknya kerana sudah mampu mengawal kemarahannya.

Tetapi kata si bapa, cuba lihat kesan pada sudut dinding rumah mereka yang pernah dipaku dan dicabut semula pakunya oleh si anak itu. Dinding rumah mereka itu tidak lagi secantik seperti sebelum ini. Kesan-kesan lubang paku itu sudah pun mencacatkan rupa dinding tersebut. Ulas bapanya, begitulah juga rupa perasaan orang lain yang pernah dimarahi oleh anaknya itu. Sekalipun anaknya itu sudah insaf, tidak lagi pemarah seperti dahulu, kesan yang ditinggalkannya pada orang yang pernah dilukainya sebelum ini akan tetap kekal.

Zuan... memang Ary boleh maafkan Zuan atas apa yang telah berlaku. Kita juga masing-masing faham apa yang berlaku dahulu tu semuanya angkara fitnah Ermilza. Tetapi kalau Zuan nak tahu, luka di hati Ary ni samalah seperti dinding yang telah dipaku oleh pemuda yang pemarah itu. Walau seribu kata maaf pun diberi kesannya tidak akan dapat memadamkan duka di hati Ary selama ini di dalam masa yang singkat. Tolonglah beri Ary lebih masa Zuan..."

"Hmm... ambillah sebanyak mana pun masa yang Ary perlukan untuk lupakan kesalahan yang telah Zuan lakukan itu. Zuan cuma nak sayang tahu yang Zuan tidak akan sesekali mengalah untuk menanti saat itu; saat di mana Ary benar-benar dapat maafkan Zuan dan terima Zuan semula."

Adriana hanya tersenyum tawar sahaja mendengarkan janji suaminya yang sama buat entah kali ke berapa itu.

"Sudahlah sayang, tak mahulah cerita yang sedih-sedih sahaja. Sekarang cuba beritahu Zuan kenapa Ary tak setuju kita bawa Ayan pergi Gold Coast?"

"Bukannya Ary tak setuju. Tapi mungkin lain kali. Bukannya awal bulan hadapan. Ary dah ada perancangan lain yang lebih mustahak waktu tu."

"Rancangan apa yang mustahak sangat tu?"

"Ary nak pergi Kota Kinabalu, Sabah. Ary akan bawa Ayan sekali ke sana."

"KK? Ary nak buat apa pergi sana? Sayang nak pergi bercuti ke? Berapa hari bulan Ary nak ke sana?"

Mendengarkan rancangan Adriana itu, Erdyzuan pantas bertanya lebih lanjut kepada isterinya itu sambil memandang muka Adriana dengan mata yang terbeliak.

"Ary bercadang nak ke sana Insya-ALLAH 16 Mei nanti. Tapi tiketnya Ary masih belum beli lagi. Tak apalah, lambat lagi pun. Tengoklah sehari dua nanti Ary pergi tengok tiket. Ary nak ke sana sebab..."

Jawapan Adriana tergantung di situ. Buat seketika dia hanya terdiam sambil menggigit-gigit kecil bibirnya kerana tidak pasti bagaimana mahu menjawab soalan suaminya itu tentang apa tujuannya ke sana. Harus kah dia menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada Erdyzuan? Tetapi lelaki itu masih lagi suaminya. Jika dia mahu ke mana-mana, seharusnya dia meminta kebenaran daripada Erdyzuan terlebih dahulu. Lagipun bukankah berdosa kalau dia merahsiakan perkara sepenting itu daripada suaminya sendiri?

"Ary ada apa nak ke sana tu?"

Sekali lagi kedengaran suara Erdyzuan bertanya tujuan Adriana ke Sabah. Tetapi kali ini matanya tidak lagi merenung Adriana seperti tadi, sebaliknya asyik menatap skrin komputer ribanya sambil menaip sesuatu di atas papan kekunci.

"Ary dah buat temu janji untuk jumpa Mama Ary..."

Dengan suara yang agak perlahan dan agak ragu-ragu Adriana menerangkan pada Erdyzuan tujuan utama lawatannya ke bumi Sabah nanti.

"Okay it’s done! Huh, nak pergi jumpa Mama Ary? Maksud Ary, emak angkat sayang ke?"

Erdyzuan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada wajah Adriana meminta penjelasan lanjut daripada isterinya setelah selesai kerja yang dilakukan pada komputer ribanya sebentar tadi. Dia merenung wajah si isteri dengan senyuman yang bergayut di bibirnya.   

"Apa yang done tu Zuan?"

Sebelum dia mahu menjawab soalan Erdyzuan itu, Adriana cuba meminta kepastian apa yang membuatkan suaminya itu tiba-tiba sahaja nampak begitu gembira. Senyuman yang terpamer di wajah Erdyzuan ketika ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang telah suaminya itu lakukan dan entah mengapa Adriana pasti dia tidak akan sukakannya.

"Oh, Zuan dah tempah tiket kapal terbang ke KK untuk Ary, Zuan dan Ayan. Our flight is on the morning of 16th May. Zuan tempah dengan hotel sekali. Thanks to today inventions. Sekarang ni semua benda hanya di hujung jari."

Penuh selamba dan masih lagi dengan senyumannya Erdyzuan menerangkan apa yang dibuatnya tadi. Tadi, sebaik sahaja dia mengetahui Adriana mahu ke Sabah dan masih belum membeli tiket, dia terus menggunakan komputer ribanya dan perkhidmatan Wi-Fi percuma di Aryz-one Café melayari laman sesawang syarikat penerbangan untuk menempah tiket dan juga hotel buat mereka sekeluarga. Dalam diam tanpa meminta persetujuan Adriana dia telah membuat perancangannya sendiri untuk menjadikan trip Adriana ke Sabah sebagai percutian mereka sekeluarga.

Wajah Adriana terus berubah menjadi cemberut apabila mendengarkan kenyataan daripada mulut Erdyzuan itu. Isy, geram sungguh hati dia dirasakan saat ini. Suka-suka hati suaminya sahaja buat tempahan untuk mereka bertiga tanpa bertanyakan kepada dia terlebih dahulu.

"Ha, jangan nak buat muka macam tu! Ary kena ingat yang Ary tu masih isteri Zuan. Kalau Zuan tak benarkan Ary pergi, Ary tak boleh pergi. Berdosa tahu ingkar cakap suami sendiri. Sekarang ni sayang pilih, nak pergi atau tak nak pergi? Kalau nak pergi kena pergi dengan Zuan. Kalau tak mahu pergi dengan Zuan, there is no way you can go. Jadi, apa keputusan Puan Adriana ku sayang, huh?"

Melihat Adriana sudah memasamkan wajahnya, Erdyzuan pantas menggunakan kuasa vetonya sebagai suami untuk memaksa isterinya itu supaya bersetuju dengan rancangannya tadi.

"Ya lah, Ary pergi dengan Zuan. Tapi Ary masih tak confirm lagi dengan emak kandung Ary tu bila dia boleh jumpa Ary. Sebab itulah Ary sebenarnya masih tak tempah tiket lagi."

Masih dengan muka yang kelat dan suara yang sedikit keras, Adriana akhirnya menyatakan persetujuannya.

"Hah, Ary ke sana nak jumpa emak kandung Ary? Bukankah dulu Ary kata yang Ary ni anak yatim piatu? Dah tak ada emak dan tak ada ayah sejak kecil lagi."

"Papa Ary memang dah meninggal dunia. Pasal mama pula, Ary pun baru sahaja beberapa tahun kebelakangan ini tahu yang sebenarnya dia masih lagi hidup. Tapi baru beberapa bulan lepas Uncle Kamarul, bapa Kerol tu dapat menghubungi dia dan cuba mengaturkan pertemuan supaya Ary dapat berjumpa dengan dia. Ada banyak benda yang Ary nak sangat tahu dan nak tanyakan pada dia kalau kami dapat berjumpa nanti."

Daripada wajah yang masam kerana geram dengan Erdyzuan tadi, wajah Adriana kini sudah berubah menjadi sayu apabila membuka cerita berkaitan emaknya yang rupa-rupanya masih lagi hidup selama ini. Ada keluhana berat terbit di hujung kata-katanya itu.

"Sorry to hear that. Tapi Zuan tak berapa fahamlah sayang... cuba Ary ceritakan pada Zuan ni daripada awal macam mana boleh jadi macam ni pula, hmm???"

Melihatkan wajah hiba isterinya itu, Erdyzuan pantas menolak komputer ribanya ke sisi meja dan mencapai tangan Adriana lalu digenggamnya penuh erat; cuba memberi keyakinan kepada sang isteri bahwwa dia akan sentiasa berada di sisi isterinya itu walau apa pun yang terjadi.

"Ceritanya macam ini..."

 

 

 


Another entry this week to make up entry for next week since I'll be busy after being AWAY this weekend... Tommorrow I'll fly to Kota Kinabalu Sabah for Cuti-Cuti Malaysia with my sis and her family until 18th of May 2009.

 

A Zillionth Thank You For

those who wish me with a birthday greeting  either

by

SMS, tagboard, email, in blogs, etc...

 

I wanna take this opportunity to thanks the most sporting boss of mine who bought me a Ben & Jerry's Ice Cream - Phish Food (Chocolate Ice cream with Gooey Marshmallow & Caramel Swirl) that worth RM25.99 (473ml) for my Best-day...huhuhu....

This was the dialog between us:

The Boss were sitting at my colleague table browing Cold Storage pamphlet

Iejay: Boss...  saya nak ice cream Ben & Jerry's tu... *dengan muka tersengih-sengih*

Boss: Yang mana?

*iejay show which one is the adds for Ben& Jerry's that she want. Still tersengih-sengih*

Boss: Okay. Nah amik duit.

Iejay: Ehhh.. tak payahlah, saya main-main aja.

*Boss give the money to other staff utk pergi belikan*

Iejay (dalam hati): Oh my dear boss... Though you always distribute lots of your task to me... I dunno that you are so sporting like this... Anyhow finally I've get to taste Ben & Jerry's Ice cream!!!!

 

**** END OF IEJAY'S NONSENSE****


iejay Simply Stated Her Recipe @ 12:00 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia