Resepi Hati Dia
Monday, March 31, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 6

 

 "Zuan! Apa awak buat dekat sini? Awak gila ke masuk bilik saya ni?"

Adriana yang tadinya sedang leka membaca novel sendirian, benar-benar terkejut apabila baru terperasan akan kehadiran Erdyzuan di dalam bilik di rumah sewanya ini. Lelaki itu dilihatnya sedang berdiri sambil bersandar pada muka pintu biliknya ini sambil merenung dirinya dengan penuh tajam. Apabila kemudiannya dia tiba-tiba menyedari yang rambutnya kini sedang terdedah pada pandangan Erdyzuan, pantas ditarik hud baju sejuk yang dipakainya itu untuk menutup helaian-helaian rambutnya.

 Jantung Adriana ketika ini berdetak dengan keras sekali melihatkan kedatangan Erdyzuan secara mengejut ke rumahnya ini. Malah lebih menakutkan dan menambahkan lagi kelajuan degupan jantungnya ini adalah apabila dia menyedari lelaki itu kini sedang berdiri di dalam biliknya. Sudahlah kesemua teman serumahnya ketika ini sudah pun keluar ke Jusco Alpha Angle sejak lepas sembahyang fardu Maghrib tadi lagi. Lalu kalau terjadi apa-apa nanti, pada siapa dia mahu meminta pertolongan?

Apa agaknya yang lelaki ini hendak buat padanya, hah? Bagaimana kalau mereka berdua tiba-tiba ditangkap kerana berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah atau singkatannya JAWI? Lagipun bukankah kalau hanya seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja yang berada dalam satu ruang, akan ada syaitan sebagai orang ketiga di antara mereka? Bukankah syaitan itu kerjanya hanyalah menyesatkan anak-anak Adam? Ya Allah, tolonglah jangan dirinya ini diapa-apakan oleh Erdyzuan...

"Zuan... tolonglah keluar... nanti apa kata orang lain kalau tengok Zuan ada dalam bilik Ary ini."

Suara Adriana sedikit merintih bunyinya meminta Erdyzuan segera keluar daripada biliknya ini sebelum terjadi apa-apa yang tidak diingini setelah lelaki itu tetap tegak berdiri di pintu itu merenungnya dan tidak menjawab langsung soalan pertamanya tadi.

"Zuan datang sini nak jumpa Ary. Tapi tadi masa Zuan sampai ke sini dan bagi salam, tak ada orang pun yang jawab. Pintu utama rumah pula tidak berkunci. Jadi Zuan cuba jenguk ke dalam, tapi tak nampak juga orang. Bila dah tak ada orang dekat ruang tamu, Zuan main masuk sahajalah nak tengok ada orang ke tidak dalam rumah ni. Ya lah, manalah tahu kalau-kalau semua orang dekat rumah ni dah kena ikat dengan perompak ke, dah pengsan kena gas beracun ke..."

"Sekalipun tak ada orang jawab salam, tak ada orang dekat ruang tamu, ianya tidak bermakna Zuan boleh sesuka hati menceroboh masuk ke dalam rumah ni. Ini rumah anak dara. Orang lelaki langsung tak dibenarkan masuk. Ary boleh telefon polis dan tuduh Zuan menceroboh rumah ni tahu tak? Zuan tolonglah keluar..."

Sekali lagi Adriana merayu pada Erdyzuan supaya keluar daripada biliknya ini sekaligus keluar daripada rumahnya ini. Suaranya kali ini sedikit keras nadanya kerana menahan rasa amarah yang mula menguasai dirinya apabila melihatkan kedegilan Erdyzuan yang tidak mahu berganjak-ganjak daripada tadi lagi. Kedudukan tubuhnya tadi yang sedang separa baring sambil bersandar pada kepala katil bujangnya ketika membaca buku tadi kini sudah beralih kepada duduk sambil memegang lutut demi mempertahankan tubuhnya daripada kemungkinan diserang secara tiba-tiba oleh Erdyzuan. Lelaki, bukannya boleh dipercayai apa tindakan mereka nanti. Sekalipun mereka mempunyai hanya satu nafsu berbanding perempuan yang mempunyai sembilan nafsu, satu nafsu itulah yang digunakan sebaik-baiknya oleh kebanyakan lelaki zaman sekarang ini.

"Zuan tak akan keluar selagi Zuan tak dapat jawapan daripada Ary."

"Jawapan apa?"

Adriana bertanya dengan wajah penuh keliru. Apa semua ni? Tiba-tiba sahaja Erdyzuan main ceroboh rumah dan biliknya ini, lepas tu nak menagih pula jawapan kepada persoalan yang dia sendiri tidak tahu-menahu langsung apakah ia.

"Jawapan untuk soalan hari itu. Ary tahu tak dah tiga hari, Zuan macam orang bodoh merayau dekat Parkson tu mencari Ary? Tiga hari juga mereka kata Ary konon cuti sebab demam. Bila Zuan telefon pula Ary langsung tak nak angkat. Ary ingat Zuan ni budak kecil ke boleh diperbodohkan dengan alasan macam tu?"

Suara Erdyzuan sedikit melengking meluahkan perasaannya yang terbuku selama tiga hari itu. Dengan perlahan-lahan langkah kakinya semakin mara merapati katil bujang Adriana. Adriana semakin ketakutan melihat tindakan Erdyzuan itu. Pelukan tangan pada lututnya semakin dikejapkan. Tubuhnya semakin merapati bucu kepala katil bujangnya.

"Zu - Zuan... tol - tolonglah ja - jangan buat macam ni..."

Suara Adriana tertahan-tahan merayu Erdyzuan menghentikan perbuatannya itu yang semakin merapati katil bujang dia. Tika ini dia semakin ketakutan. Matanya melingas sedikit memerhati sekeliling bilik sempitnya itu, mencari ruang untuk dia berlari sekiranya Erdyzuan benar-benar merapati dan menghimpit tubuh wanitanya ini. Juga mencari apa-apa yang tajam atau sangat keras untuk dihunuskan sahaja mahupun dihentakkan pada tubuh Erdyzuan andai benar dirinya ini diserang. Lebih kurang jarak satu setengah meter daripada kedudukan tubuhnya kini, dia dapat lihat ada sebiji seterika dan beberapa batang penyangkut baju berada di atas lantai yang dibiarkannya di situ selepas menggosok pakaian kerjanya untuk esok sesudah sembahyang fardu Maghrib tadi. Akal Adriana pantas sahaja berkerja memikirkan sama ada dia sempat atau tidak untuk bergerak secara senyap dan pantas ke situ, lalu mencapai penyangkut baju atau seterika itu supaya dapat dijadikan alat pelindung kepada dirinya ini daripada diserang oleh Erdyzuan nanti.

"Jangan buat apanya sayang? Mana ada Zuan buat apa-apa. Zuan cuma nak bercakap dengan Ary aje. Itulah siapa suruh tak kunci pintu rumah dari dalam."

Ada tawa kecil di hujung kata-kata Erdyzuan itu. Ketika ini punggungnya sudahpun di labuhkan pada bucu katil bujang Adriana, duduk betul-betul setentang dengan Adriana yang juga semakin cuba mengetatkan pelukan tangan pada lututnya dan semakin merapati sudut kepala katil itu. Sesungguhnya dia tidak pernah berniat untuk mengapa-apakan Adriananya. Dia masuk ke rumah ini dan juga ke bilik Adriana ini pun hanya secara spontan sahaja setelah salamnya daripada luar untuk penghuni rumah ini tidak berjawab langsung tadi. Melihatkan ruang tamu dan dapur yang kosong sahaja, entah megapa kakinya ini laju sahaja mendahului akalnya mencari bilik Adriana di tingkat dua rumah tiga tingkat ini. Mungkin sudah memang rezekinya kerana bilik pertama yang dia nampak di tingkat dua rumah ini adalah bilik Adriana berdasarkan pada gantungan ukiran nama yang terdapat di pintu luar bilik itu. Rezekinya juga rasanya kerana dia dapat melihat Adriana seketika tanpa tudung kepalanya itu seperti biasa. Rambut Adriana cantik sangat pada mata lelakinya ini. Rambut berwarna perang gelap dan separas bahu itu nampak sedikit ikal beralun. Agak seketika juga dia dapat merenung sepuas-puas hatinya pada wanita yang semakin mendapat tempat di hatinya itu sebelum kehadirannya di bilik ini mula disedari oleh si gadis.

Sekalipun nafsu lelakinya sedikit teruja melihatkan kecantikan Adriana, dia langsung tidak berniat untuk menyentuh wanita itu sebelum si dia menjadi haknya yang sah. Tetapi sengaja dia berolok-olok mendekati Adriana dengan langkah yang perlahan-lahan seperti lelaki yang sudah tidak tertahan nafsunya mahu membaham tubuh Adriana yang sangat-sangat cantik itu sekadar untuk menakutkan si gadis sahaja. Melihatkan pada wajah ketakutan dan reaksi Adriana yang sungguh defensif sejak menyedari kehadirannya di bilik ini, hatinya ini semakin menggeletek untuk terus berlakon sebegitu. Padanya, Adriana itu nampak semakin menawan sahaja rasanya bila bereaksi sebegitu.

"Zuan nak cakap apa dengan Ary?"

Hati Adriana mendongkol sungguh kerana melihatkan Erdyzuan yang boleh selamba sahaja berkata-kata sambil ketawa riang sedangkan dirinya ini sedang ketakutan yang amat ketika ini. Juga geram kerana Erdyzuan begitu selamba memanggilnya sayang. Sambil itu sempat dia merungut sendirian di hatinya bila memikirkan pasti ini kerja salah seorang teman serumahnya yang lupa mengunci pintu utama rumah mereka ini semasa hendak keluar ke pusat membeli-belah Jusco Alpha Angle tadi lalu menyebabkan Erdyzuan dapat menceroboh masuk ke rumah ini dan sekaligus biliknya ini.

"Kenapa beberapa hari ni Ary tak jawab panggilan Zuan? Kenapa larikan diri dan menyorok daripada Zuan semasa Zuan datang ke Parkson?"

"Mana ada Ary larikan diri daripada Zuan. Dah tiga hari Ary hanya duduk dekat rumah ni sahaja sebab demam. Bila dah duduk di rumah sahaja, Ary malaslah nak cas bateri telefon tu sebab rasanya tak ada sesiapa pun yang nak telefon Ary ni."

Suara Adriana sudah sedikit relaks nadanya menerangkan keadaan sebenar apabila melihatkan Erdyzuan tidak lagi bergerak-gerak daripada duduknya tadi di sudut bucu katil bujangnya itu. Namun pelukan tangannya masih tetap kejap pada lututnya itu. Dia tidak mahu leka lalu tertipu dengan sebarang helah Erdyzuan yang mungkin tengah mengintai sebarang peluang untuk menerkam tubuhnya pula.

Sememangnya sudah tiga hari dia demam. Berlari balik daripada berjoging dan melarikan dirinya daripada Erdyzuan yang telah melamarnya secara tiba-tiba hari Ahad itu, dia di timpa hujan lebat di saat hanya lebih kurang lagi dua ratus meter sahaja dirinya hendak sampai ke rumah. Hujan yang membasahi bumi secara tiba-tiba dengan begitu lebat sekali tanpa sebarang petanda pada langit petang Ahad itu telah membuatkan badannya ini menjadi panas yang mencapai suhu maksimum 39 darjah celcius pada pagi Isnin lalu dan diberikan cuti sakit selama sehari kerana demam panas oleh doktor. Mungkin kerana masih terlalu terkejut kerana menerima lamaran secara tiba-tiba daripada Erdyzuan atau kerana dia adalah seorang yang amat tidak suka makan ubat dalam bentuk pil yang diberikan oleh doktor, maka demamnya itu masih juga tidak kebah pada hari Selasanya. Setelah menambah cuti sakitnya lagi pada hari Selasa, dia menambah pula cuti kecemasan pada hari ini iaitu hari Rabu apabila merasakan badannya masih lagi tidak larat untuk bangun dan pergi bekerja seperti biasa. Atas sebab itulah juga dia tidak mengikuti teman-teman serumahnya ke pusat membeli-belah Jusco Alpha Angle walaupun dirinya ini telah pun diajak sama tadi. Jadi siapa yang kata dia sebenarnya sedang melarikan dirinya daripada Erdyzuan selama tiga hari ini?

"Habis tu, sekarang ni Ary dah sihat ke?"

Erdyzuan bertanya dengan penuh prihatin dan suara yang lembut kemudiannya apabila mendengarkan alasan Adriana itu. Melihatkan tubuh Adriana yang dibaluti baju sejuk, berseluar panjang dan siap berstoking, dia mula percaya akan kata-kata rakan sekerja Adriana sejak tiga hari lalu yang gadisnya itu memang bercuti kerana tengah demam. Ada rasa simpati berputik di hati melihatkan gadisnya ini berwajah pucat sahaja berbanding muka segarnya pada pertemuan mereka empat hari lalu. Kalaulah Adriana sudi, ingin sahaja dipeluknya tubuh si gadis agar dapat dipanaskan tubuh si dia yang mungkin tengah kesejukan itu. Err... orang tengah demam memanglah rasa sejukkan?

"Dah sihat sedikit. Esok Ary akan masuk kerja semula. Zuan... kita berbual di luar rumah sahajalah ya? Ary takutlah bila kita berdua-duaan sahaja di sini. Lagipun semua teman-teman serumah Ary tengah tak ada ni. Nanti kalau tiba-tiba sahaja mereka balik, apa pula kata mereka?"

"Baguslah kalau kawan-kawan Ary tak ada. Kenapa nak takut pula? Zuan bukan nak buat apa-apa pun. Selama ini bila Zuan kata tak akan usik Ary, Zuan sentiasa penuhi janji Zuan tu kan? Tak ada sesiapa pun yang akan nampak kita berdua dekat sini. Paling-paling kalau ada orang yang nampak kita macam ni, mereka akan panggil JAWI sahaja. Kalau JAWI  datang, dapatlah kita kahwin percuma kan? Sayang tak suka ke idea tu?"

"Zuan! Apa yang Zuan mengarut ni? Sekalipun tak ada orang nampak, Tuhan sentiasa nampak apa yang kita buat. Zuan, tolonglah... Kita bercakap hal-hal lain di luar sahaja ya? Zuan keluarlah dulu, nanti Ary datang. Beri Ary sedikit masa untuk pakai tudung betul-betul dahulu."

Adriana yang terkejut mendengar pendapat Erdyzuan itu, segera menyabarkan hatinya sendiri dan cuba berdiplomasi supaya lelaki itu meninggalkan biliknya ini dengan kadar segera apabila memikirkan kemungkinan terakhir yang disebut lelaki itu tadi. Kahwin percuma dengan Erdyzuan? Ee, tak mahulah. Kalaulah dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan Erdyzuan sekalipun biarlah dengan cara yang baik dan penuh adab. Bukannya kerana kena tangkap basah. Sebagai seorang wanita, cara dia di ambil oleh seseorang lelaki melalui perkahwinan itulah yang menjadi lambang harga dirinya ini di mata masyarakat. Kalau dia berkahwin kerana ditangkap khalwat, orang di sekelilingnya tentu tetap akan melabelkan dirinya ini sebagai perempuan jahat walaupun masa dia tertangkap dia sebenarnya tidak buat apa-apa kesalahan seklaipun.   

"Okeylah Zuan tunggu dekat luar. Ary jangan nak mengelat pula terus menyorok dalam rumah ni atau keluar ikut pintu belakang. Kalau Ary buat macam tu, Zuan akan buat sesuatu yang lebih teruk daripada ini pada Ary. Zuan cakap betul-betul ni. Jangan ingat Zuan hanya nak acah-acah Ary sahaja macam tadi."

"Ya, Ary pasti akan keluar punya. Tunggu sahajalah dekat luar tu."

Kali ini Adriana sudah berani bangun dan berdiri di sisi katilnya sambil tangannya mengarahkan kepada pintu tanda meminta Edyzuan segera keluar dahulu. Ada tawa yang cuba ditahan pada kata-katanya tadi mendengarkan ugutan Erdyzuan itu. Ada ke patut dikatanya Adriana ini ada rancangan hendak cuba larikan dirinya dari pintu belakang rumah? Huh, memang tak patut sungguh. Buat apalah dia nak larikan diri daraipada rumahnya sendiri? Lainlah kalau dia sedang berhutang dengan mana-mana lidah darat ke. Barulah ada logiknya juga jika dia buat begitu.

Kini dia sememangnya yakin yang Erdyzuan sememangnya tidak pernah berniat mahu mengapa-apakan dirinya ini daripada tadi. Sekadar memperolok-olokkan dirinya ini yang jelas nampak ketakutan kerana terkejut dengan kehadiran lelaki itu secara tiba-tiba tadi sahaja. Ya lah, Erdyzuan itu setahunya memang jenis yang gila-gila sedikit perangainya. Selalu sahaja tekad dengan cadangannya yang tak masuk akal itu kalau mahukan sesuatu. 

Apabila dia pasti Erdyzuan sudah selamat keluar daripada biliknya, segera Adriana mengunci pintu biliknya dahulu dan kemudiannya mencapai tudung hitam yang sedia tergantung di sebalik pintu dan memakainya. Sebelum itu wajahnya yang sedikit pucat kerana demam dan ketakutan dengan kehadiran Erdyzuan tadi sempat disegarkan sedikit dengan percikan air. Bibirnya itu pula dioles dengan sedikit pelembab bibir tanpa warna supaya nampak lebih bermaya. Sedikit haruman Body Shop dengan wangian Dewberry juga di sembur pada baju dan lengannya itu.

Namun tiba-tiba segala langkah pantasnya daripada tadi terhenti seketika apabila dia mula terfikirkan kenapa dia begitu bersungguh-sungguh hendak menyegarkan dirinya ini semata-mata hendak bercakap-cakap dengan Erdyzuan di luar rumah sana sahaja? Adakah segala tindakan refleksnya ini kerana hatinya ini sebenarnya memang mengharapkan perhatian Erdyzuan padanya? Adakah dia sudah benar-benar bersedia untuk menerima lamaran Erdyzuan hari itu? Bagaimana pula kalau Erdyzuan kemari sebenarnya kerana bukan hendak bertanyakan tentang lamarannya itu? Tetapi tadi memang jelas katanya dia hendakkan jawapan kepada soalan hari tu kan? Hari Ahad tu, Erdyzuan ada bertanyakan soalan lain ke selain daripada lamarannya ini?

Lalu hati Adriana terus bertingkah sendirian memikirkan kemungkinan isi perbualan Erdyzuan dan dirinya ini sekejap sahaja lagi...


iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:30 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia