Resepi Hati Dia
Thursday, February 21, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 4

Erdyzuan memakirkan keretanya di tepi jalan betul-betul sebelum simpang jalan masuk ke pejabat ibu sawat Telekom Malaysia Wangsa Maju. Dia sudah berjanji dengan Adriana untuk berjumpa petang ini di kaki bukit yang teletak bersebelahan dengan bangunan Telekom tersebut. Hari ini kalau mengikut perancangannya, mereka akan joging bersama-sama hingga ke puncak bukit tersebut.

Tempat yang mereka akan tuju itu bukanlah sebuah bukit rekreasi pun. Di atas puncak bukit itu sebenarnya terletak rumah simpanan takungan air. Tetapi atas inisiatif siapa dia tidak tahu, jalan ke atas bukit yang sederhana curam dan bertar itu telah menjadi tempat rekreasi tidak rasmi bagi kebanyakan penduduk di sekitar Wangsa Maju ini. Sementelah kawasan bandar baru ini memang tiada sebarang taman rekreasi untuk dikunjungioleh penduduknya. Kawasan reksreasi yang paling dekat dengan Wangsa Maju ini pun hanyalah Taman Tasik Titiwangsa sahaja.

Daripada dalam keretanya dia nampak Adriana sudah sedia menunggu di kaki bukit tersebut dan sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang sedang berdiri di sisi sebuah kereta Proton Saga Aeroback bewarna putih. Melihatkan situasi itu, ada rasa cemburu yang terselit di sudut hatinya. Hatinya tidak senang melihat Adriananya yang telah mula mendapat tempat di hatinya itu berbual mesra dengan lelaki lain.

Kini sudah masuk tiga bulan dia mengenali Adriana semenjak peristiwa di Parkson KLCC itu. Perhubungan mereka berjalan agak lancar atas dasar persahabatan. Sekiranya kebetulan waktu rehat Adriana sama dengan waktu rehatnya iaitu pada jam 12.30 tengah hari, pastinya mereka akan pergi makan tengah hari bersama-sama di Picnic ataupun Warung KLCC. Malah Adriana tidak lagi segan-segan untuk menerima pelawaannya menumpangkan gadis itu balik sekiranya waktu pulangnya sama dengan Erdyzuan iaitu jam 6.30 petang.

Saban hari dia selalu berharap akan dapat menatap wajah Adriananya. Sekiranya jadual mereka berdua tidak bertembung iaitu apabila tiba giliran Adriana bekerja waktu petang, Edyzuan pasti akan singgah ke Parkson KLCC selepas waktu kerjanya untuk berjumpa dengan Adriananya. Tidak cukup dengan itu, pantang ada masa terluang pasti mereka akan berbalas SMS atau berbual di telefon untuk bercerita tentang apa sahaja. Malahan dirasakan waktu-waktu dia terpaksa berpergian ke pelantar minyak selama seminggu yang merupakan jadual bulanannya, memang sungguh menyiksakan kerana dia tidak akan dapat menghubungi Adriananya daripada sana.

Namun Adriana adalah tetap Adriana seperti yang pertama kali dikenalinya dahulu. Gadis itu cukup bersahaja dan masih menjaga batas perhubungannya dengan mana-mana lelaki termasuk Erdyzuan sendiri. Tidak pernah sekalipun mereka berbicara soal hati sepanjang tiga bulan usia perkenalan mereka. Malah tangan berkulit mulus milik Adriana juga tidak pernah sekalipun berjaya disentuhnya. Gadis itu sememangnya berbeza daripada kebanyakan gadis lain yang pernah dikenalinya sebelum ini.

Dalam kebanyakan kes, selalunya baru sahaja sebulan dua dia berkenalan dengan seseorang gadis itu pantas sahaja soal hati dan perasaan akan diutarakan oleh si gadis padanya. Malah walaupun baru sekali dua keluar berdua berjanji temu, tanpa segan-silu gadis-gadis yang pernah dikenalinya itu sudah menyentuh tangannya. Rasanya kalau dia mahu beraksi lebih-lebih daripada itu atau meneroka ke daerah larangan gadis-gadis itu sekalipun, dia pasti mereka langsung tidak akan melarangnya. Tetapi tidak sama-sekali dengan Adriananya. Ah, gadisnya itu sememangnya berbeza.

Dia yang masih berada dalam keretanya semenjak tadi, merasa terkejut apabila tingkap keretanya tiba-tiba sahaja diketuk. Di sisi tingkapnya itu Adriana sedang berdiri sambil mengetuk tingkap keretanya. Senyuman manis penyeri wajah gadisnya itu seperti biasa tidak pernah lekang daripada bibirnya. Tidak menunggu lama, pantas pintu kereta dibuka dan Erdyzuan melangkah keluar merapati Adriana yang setia mananti di luar.

"Kenapa dari tadi Zuan duduk dalam ni aje? Tadi dalam telefon punyalah beria-ia kata nak joging sama-sama Ary. Ni dah sampai sini, ada ke duduk dalam kerata aje."

Tanpa menjawab persoalan Adriana pantas dia bertanya pada gadisnya pula soalan yang telah bermukim di hatinya semenjak tadi lagi.

"Siapa lelaki yang dengan Ary tadi?"

"Lelaki? Lelaki mana pula ni?"

Adriana bertanya dengan dahi berkerut. Cuba mengingati lelaki mana yang ada bersamanya tadi. Erdyzuan memandang wajah Adriana yang masih tetap cantik pada mata lelakinya sekalipun sedang berkerut dahi. Gila! Sememangnya dia sudah gilakan Adriana. Wajah si gadis yang sedang berkerut itu pun boleh nampak cantik laksana bulan empat belas pada matanya.  

"Lelaki yang naik kereta Proton Saga Aeroback tu!"

Nada suaranya sememangnya sudah berbunyi cemburu.

"Oh, lelaki tadi tu ya? Zuan nampak ke? Hmm... lelaki tu dulu kekasih pada kawan sekuliah Ary masa dekat UiTM. Tetapi sekarang ni mereka dah berpisah. Kawan Ary tu pun dah kahwin dengan orang lain. Kebetulan terjumpa dengan dia tadi. Dia kata dia daripada atas bukit tu. Dia tu kerja dengan syarikat Celcom Ada kerja sedikit yang dibuatnya di menara pemancar dekat atas tu."

Bersahaja Adriana menerangkan tentang Faez, jejaka yang ditemuinya tadi sambil menunjukkan arah puncak bukit yang bakal dinaikinya bersama Erdyzuan sebentar lagi. Masuk kali ini, sudah tiga kali mereka berjumpa di sini. Sekiranya kebetulan dia bercuti di hujung minggu dan Erdyzuan mengajak untuk bertemu dengannya, dia pasti akan mencadangkan tempat ini pada lelaki itu sebagai lokasi pertemuan mereka. Tempat ini suasananya agak redup dan menjadi tumpuan orang ramai. Jadi pada pandangan matanya, cukup sesuai untuk dijadikan tempat mereka bertemu dan ruang mengenali diri masing-masing dengan lebih dekat lagi.    

"Habis tu sekarang ni bila mereka dah berpisah, Ary pula lah yang nak masuk jarum mengurat lelaki tu?"

"His, Zuan ni kenapa? Mana ada Ary nak mengurat Faez tu."

"Faez?"

"Ya, nama lelaki tadi tu Faez. Zuan, tadi kebetulan sahajalah kami terjumpa. Itu yang Ary berbual-bual sekejap dengan dia sementara tunggu Zuan sampai. Berbual-bual kosong sahaja. Bertanya perkembangan terkini diri masing-masing. Ary tak pernah ada hati pada dia pun. Dulu Ary selalu jadi tukang teman kawan Ary tu bila mereka buat janji temu. Jadi Ary ni kiranya dah kenal rapatlah dengan Faez tu."

"Betul Ary tak ada apa-apa dengan dia?"

"Betul!"

Akhirnya Erdyzuan tersenyum semula setelah yakin akan alasan yang diberikan oleh Adriananya.  

"Okeylah kalau macam tu jom kita pergi joging."

"Ops, nanti dulu. Simpan biskut ni dalam kereta dulu. Takkan nak bawa pergi joging sekali. Tadi dalam telefon beria-ia minta dekat Ary suruh bawakan."

Adriana menyerahkan sebalang kecil biskut yang dibuatnya tengah hari tadi kepada Erdyzuan. Tengah hari tadi ketika Erdyzuan menelefonnya untuk mengajak mengadakan sebuah pertemuan pada petang ini, dia sedang sibuk membakar biskut coklat cip. Sememangnya bila ada kelapangan, Adriana lebih suka duduk di rumah dan mencuba pelbagai resepi yang akhirnya jadi santapan rakan-rakan serumahnya sahaja kerana dia bukannya jenis yang suka makan sangat apa yang dimasaknya. Kini dia sudah ada tukang rasa baru untuk setiap resepi yang dicubanya selain daripada rakan serumahnya. Tukang rasa tersebut tidak lain tidak bukan ialah Encik Erdyzuannya ini. Tadi dalam telefon beria-ia Erdyzuan menyuruh Adriana bawakan biskut yang dibuatnya untuk lelaki itu.

"Ini dia ke Urban Legend Chocolate Chips Cookies yang Ary cakap tu?"

"Ya, inilah dia biskutnya. Apa macam, sama tak dengan apa yang Ary ceritakan pada Zuan tadi?"

Erdyzuan melihat pada biskut coklat cip yang Adriana berikan padanya itu. Bentuknya memang nampak serupa macam biskut coklat cip yang dijual di Famous Amous tu. Kemudian Erdyzuan membuka bekas itu dan mengambil sebiji biskut tersebut lalu disuapkan ke dalam mulutnya. Hmm... rasanya juga boleh tahan sama macam biskut yang terkenal dan mahal harganya itu.

Teringat dia pada cerita Adriana lewat panggilan telefon mereka tengah hari tadi. Kata Adriana resepi biskut yang dibuatnya ini digelar Urban Legend Chocolate Chips Cookies kerana resepinya di sebarkan melalui internet oleh seorang wanita yang rasa dirinya tertipu apabila dia dicaj dengan harga 250 dolar pada kad kreditnya ketika meminta untuk membeli resepi biskut tersebut daripada sebuah kios biskut terkenal yang tidak diketahui di mana letaknya. Ceritanya lagi, wanita tersebut menyangka ketika bertanya caj harga resepi tersebut pada pembantu kedai, two - fifty yang dimaksudkan itu ialah 2.50 dolar. Rupa-rupanya two - fifty yang dimaksudkan ialah bersamaan dengan 250 dolar.       

"Betullah tu, rasanya sama je macam dengan biskut dekat Famous Amous. Terima kasih sayang sebab bagi Zuan biskut yang sangat sedap ni."

Adriana hanya menjuihkan bibirnya apabila mendengar Erdyzuan memanggilnya sayang. Lelaki ni memang suka sungguh bergurau dengan Adriana. Suka sangat panggil dia sayang secara tiba-tiba sahaja sedangkan mereka bukannya ada hubungan istimewa selain daripada sahabat pun.

Setelah Erdyzuan menyimpan biskut yang diberi Adriana ke dalam kereta dan mengunci pintunya, mereka memulakan aktiviti petang mereka itu dengan berjalan-jalan sahaja menaiki cenuram bukit itu. Di kiri dan kanan mereka manusia-manusia lain sama ada secara berkumpulan mahupun berseorangan sibuk turun naik bukit tersebut sebagai cara bersenam mereka. Ada yang hanya setakat berjalan-jalan seperti mereka dan ada juga yang berlari-lari anak. 

"Siapa yang rajin sangat tanam pokok-pokok bunga ni dekat sini ya?"

Suasana yang senyap antara Adriana dan Erdyzuan sejak mereka memulakan aktiviti berjalan menaiki bukit itu akhirnya dipecahkan oleh pertanyaan daripada Erdyzuan. Sesungguhnya Erdyzuan benar-benar tertarik dengan suasana jalan menaiki bukit itu, di mana tepi jalannya yang kecil itu ada pokok-pokok bunga yang di tanam di situ. Pokok serai dan daun pandan juga turut ditanam di situ.

"Entahlah, tapi memang bagus pun ada orang yang rajin tolong tanamkan pokok-pokok macam ni dekat sini. Cantik sedikit jadinya. Kalau tidak kosong aje kawasan ini. Sudahlah belah kiri ni pokok hutan sahaja yang ada. Zuan tahu tak, bila kita tolong tanamkan walaupun hanya sepohon pokok renek ianya merupakan satu amal jariah juga. Setiap haiwan yang mendapat manfaat daripada pokok tersebut, contohnya semut yang berteduh di bawahnya nanti akan bertasbih memuji Allah dan pahala itu akan diserahkan pada kita. Eh, apa pasal Zuan pergi tarik daun pandan tu? Marahlah tuan pokok ni nanti." 

Adriana pantas menegur apabila dilihatnya Erdyzuan tiba-tiba menarik sehelai daun pandan yang tertanam di situ. Erdyzuan pula hanya tergelak kecil sahaja. Tanpa menjawab kenapa dia berbuat begitu, Erdyzuan meneruskan sahaja langkah kakinya menuju ke puncak bukit sambil tangannya melilit-lilit daun pandan tersebut pada jari tangannya sendiri.

Sesampainya mereka di puncak bukit dimana terletaknya rumah takungan air dan menara pemancar Celcom, dilihatnya terdapat agak ramai orang yang masih berpusing-pusing di sekeliling tempat itu sambil berlari-lari anak. Sekumpulan dua remaja lelaki dan perempuan pula dilihatnya sudah memanjat dan duduk di atas bunbung rumah takungan air itu. Berani sungguh mereka tu. Langsung tidak takut kalau-kalau mereka bakal terjatuh ke bawah.

Setelah sekali berpusing di sekeliling rumah takungan air itu, Erdyzuan mengajak Adriana duduk di atas rumput di salah satu sudut berhampiran dengan pagar yang memagari sekeliling kawasan perbukitan tersebut. Pagar tersebut mungkin dibina untuk menghalang penceroboh ke kawasan itu atau mengelakkan daripada ada yang terjatuh ke bawah bukit tersebut. Sudut yang tidak ditumbuhi sebarang lalang mahupun pokok itu membolehkan mereka melihat daripada atas sekitar kawasan Wangsa Maju dan sebahagian kawasan Melawati yang terletak bersebelahan dengan Wangsa Maju. Kereta-kerata di jalan raya nampak sungguh kecil seperti tikus sahaja. Subhanallah, pemandangan ini sememangnya cantik yang amat pada pandangan mereka berdua.

Erdyzuan hanya merenung wajah Adriana yang begitu khusyuk memerhati pemandangan yang saujana mata memandang itu.             

"Kalau waktu malam mesti lagi cantik kan? Tengok pemandangan lampu yang berkelip-kelip daripada atas ni. Ary pernah dengar orang kata kalau pakai teropong, puncak Genting Highland tu pun boleh kita nampak dari sini. Bila malam mesti lampu-lampu yang bergemerlapan daripada puncak genting tu kita boleh nampak dari sini. Kalaulah Ary ni ada banyak duit, Ary nak letak satu terpong peninjau dekat kawasan ni macam dekat Menara KL tu. Jadi semua orang boleh tengok pemandangan yang cantik dekat sini. Nanti Ary kutiplah bayaran. Sekali tengok kita caj lah seringgit ke. Bagus juga kan buat perniagaan macam ni?"  

"Kita?"

Erdyzuan tersenyum senang mendengar perkataan 'kita' yang keluar daripada mulut Adriana itu. Terasa begitu dekat hatinya ini dengan Adriana. Saat-saat itu hatinya teringin bertanya pada si gadis adakah dia merasakan apa yang ada di hati Erdyzuan ini.

  "Hehehe... maksud Ary sebenarnya nanti bila Ary dah buat perniagaan macam tu, Zuan bolehlah tolong Ary. Zuan tolong kutip duit untuk Ary."

Adriana menjelirkan sedikit lidahnya tanda tersilap kata. Dalam asyik memerhati keindahan di hadapan mata dan mencanai impian yang mengarut tidak sangka tersebut perkataan 'kita' pula. Aduh, Adriana berkata macam dah sah-sah sahaja lelaki kacak di sebelahnya ini sukakan dirinya.

Saat Adriana mengalihkan pandangan matanya pada wajah Erdyzuan pula, dilihatnya lelaki itu sedang merenung tajam dirinya. Tusukan renungan daripada mata coklat indah sang arjuna itu tampak begitu romantis sekali dan benar-benar membuatkan dada Adriana terasa bergetar hebat. Entah mengapa pipinya terasa panas apabila direnung sebegitu sekali.

"Kenapa pandang Ary macam tu?"

"Saja-saja. Tak boleh ke?"

Suara Erdyzuan kedengaran begitu gemersik sekali pada pendengaran Adriana.

"Janganlah. Malulah rasa Zuan pandang Ary macam ni."

Adriana menegah Erdyzuan daripada terus merenung dirinya sebegitu dengan suara yang lembut. Err... alamak suara ni kenapa tiba-tiba terasa bunyi macam ala-ala manja pula ni.

"Ary..."

Adriana hanya memandang wajah Erdyzuan saat mendengar namanya disebut oleh lelaki itu. Malah disaat terasa tangannya digapai si lelaki yang semakin mendapat tempat di hatinya itu buat pertama kalinya dalam sejarah perhubungan mereka, dia hanya melihat sahaja. Entah mengapa dia bagaikan tidak berdaya langsung  untuk membantah sentuhan itu walaupun selama ini dia seorang yang benar-benar menjaga auratnya daripada disentuh sesuka hati oleh lelaki yang bukan muhrimnya dan Erdyzuan juga cukup faham akan pendiriannya yang satu ini.

"Adriana Ahmadi Edrward, sudi tak Adriana jadi isteri Erdyzuan?"

Adriana benar-benar terkesima saat mendengar lamaran yang tiba-tiba keluar daripada mulut Erdyzuan itu. Terasa rahangnya bagaikan hendak jatuh sampai ke tanah kerana terkejut dengan lamaran yang datang secara tiba-tiba ini. Seriuskah lelaki ini dengan lamarannya ini? Atau dia sekadar bergurau sahaja?

"Zuan sedar tak apa yang Zuan cakap ni?"

"Ya, Zuan sedar sayang. Zuan benar-benar serius mahu memperisterikan Ary."

Lantas daun pandan yang tadinya diambil dari tepi jalan tadi dan telah digulung-gulungkannya seperti cincin, disarungkan ke jari manis Adriana. Muat-muat sahaja daun itu tersarung di jari Adriananya.

Adriana yang meihat perlakuan Erdyzuan itu, semakin rasa sesak nafasnya. Lantas tangannya ditarik daripada pegangan lelaki itu dan segera dia bangkit dari duduknya.

"Ary nak balik. Tolong jangan cari Ary lagi."

Selepas berkata-kata sebegitu Adriana terus sahaja berlari selaju mungkin menuruni bukit untuk berlalu daripada situ. Wajah Erdyzuan langsung tidak dipandangnya lagi.

Edyzuan hanya memerhati langkah panjang Adriananya berlalu dari sisinya. Dia tahu seharusnya dia mengejar gadis itu tetapi dia juga tahu dia harus membiarkan gadis yang sedang terkejut dengan lamarannya secara tiba-tiba itu menenangkan diri dahulu.

Sesungguhnya dia tidak main-main ketika melamar Adriananya tadi. Dia tahu mereka baru sahaja tiga bulan berkenalan dan mereka tidak pernah membincangkan hal hati serta perasaan sebelum-sebelum ini. Segalanya terjadi secara spontan. Tetapi dia tetap yakin sesungguhnya Adrianalah bidadari yang ditunggu-tunggunya selama ini untuk dijadikan suri hatinya. Ya, hatinya begitu yakin sekali.

 

 

 

Urban Legend Chocolate Chip Cookies

 

 

'You may have heard this story...a woman asks to buy a cookie recipe and is told it will cost 'two-fifty.' She thinks this means $2.50, but then she gets her credit card bill back and finds out it is $250.00. Outraged, she spreads the recipe far and wide to try and get her money's worth. I first heard this story 6 years ago and was given a recipe on a sheet of paper which bore the date '1986.' The supposed originator of the recipe was a well-known cookie company. I have since heard this tale again several times, with the recipe originating from different upscale department stores. True story? Who knows, but it's a darn good cookie. Here's my version."

 

 

                              

 

 

Preparation Time: 15 Minutes

Cook Time: 8 minutes

Ready in: 1 Hour

Original recipe yield: 5 dozen

 

Bahan-Bahan

 

  • 1 cawan butter, (yang sudah dilembutkan pada suhu bilik)
  • 1 cawan gula (kisar halus)
  • 1 cawan gular perang (yang dalam pek)
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 2 cawan tepung (tak payah ayak pun tak apa)
  • 2 1/2 cawan oat /nestum (kisar halus)
  • 1/2 sudu the garam
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1 sudu teh baking soda
  • 2 cawan coklat cip (nak letak sikit ke banyak ikut suka)
  • 4 ounces kepingan coklat yang di cincang-cincang (ikut suka juga nak letak banyak atau sikit)   
  • 1 1/2 cawan @ 1 pek hazelnut (iejay beli yang dah siap kisar tapi bukannya yg terlalu halus dijual dalam pek) 

 

 

Cara-caranya

 

  1. Panaskan oven 375 degrees F (190 degrees C). Atau ikutlah oven tu mana suhu yang sesuai nak baker kuih.
  2. Campurkan oat yang sudah dikisar tadi dengan tepung dalam satu bekas.
  3. Campurkan sekali baking powder, baking soda, garam. Ketepikan.
  4. Dalam satu lagi bekas besar, pukul butter dan gula sampai sebati (tak payah kembang sebab bukan  nak buat kek). Masukkan telur satu persatu. Masukkan esen vanilla.
  5. Campurkan bahan-bahan kering tadi dengan bancuhan butter + gula + telur. Masukkan coklat keping yang dah diparut. (kalau nak warnanya cerah sedikit jangan letak banyak coklat ni.)
  6. Kemudian campurkan cip coklat dan hazelnut (hazelnut tu digoreng dahulu sekejap tanpa minyak dalam kuali dengan api kecil.      
  7. Gaul semua bahan tadi. Ambil sesudu kecil atau ikut sukalah nak besar mana dan bentukkan pakai tangan sahaja. Susun atas dulang pembakar yang sudah di sapu sedikit margerine (jarak2 sedikit pasal dia akan kembang sedikit). Bakar dalam oven tadi 6-8 minit.
  8. Lepas dah nampak masak (masa baru masak memang lembik sedikit), keluarkan dan sejukkan.

 

 

Nota daripada Iejay:

 

Biskut ini sangatlah sedappppp!!!! Iejay dah dua kali buat. Kali kedua buat siap double-kan bahan sebab nak lagi banyak. Biskut ini ala-ala Famous Amous. Sedap dibuat peneman tengok TV. My brother tukang habiskan. Inipun dekat rumah dah habis dan rancang nak buat lagi weekend ni.


iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:26 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia