Resepi Hati Dia
Tuesday, January 22, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 2

 

 

"Adriana..."

Langkah Adriana yang sedang menuju ke stesen Putra LRT terhenti di hadapan restoran Delifrance yang sedang dikemas untuk ditutup. Hatinya merungut sendirian mendengar panggilan tersebut. Siapalah yang sibuk-sibuk panggil dia ni. Dia sebenarnya sudah terlalu letih hari ini kerana terpaksa bekerja melebihi masa.

Hari ini waktu kerjanya bermula daripada jam 8.30 pagi dan sepatutnya tamat pada jam 6.00 petang. Tetapi memandangkan Mohammad Zaini yang merupakan Floor Executive gents department, tidak dapat hadir hari ini kerana ada hal kecemasan dan Mrs. Chua yang merupakan assistant manager juga bercuti, maka dalam keadaan paksa-rela dia melanjutkan waktu kerjanya.

Inipun Alhamdulillah sungguh  kerana pengurusnya bermurah hati membenarkan dia cabut seawal jam 10 malam. Kalau diikutkan sepatutnya apabila dia menggantikan Mohammad Zaini, dia kena menunggu sehingga pasaraya Parkson KLCC ini ditutup dan segala urusan mengemas serta balancing selsesai. Biasanya kalau nak menunggu penutup, jawabnya pukul 11.30 atau 12 pagi barulah dia akan dapat pulang ke rumah. Namun memandangkan esok juga dia terpaksa masuk kerja pagi seperti hari ini, pengurusnya telah menawarkan dirinya untuk mengawasi urusan closing tingkat satu Parkson KLCC bagi pihaknya.

"Cik Adriana..."

Dengan rasa malas Adriana menoleh kebelakang untuk melihat gerangan pemilik suara yang memanggilnya buat kali kedua. Berkerut-kerut dahinya melihat lelaki yang berkemeja kuning degan lengan yang disinsing hingga ke paras siku itu. Puas dia cuba mengecam lelaki yang kini sudah pun berdiri di sisinya.

"Err... encik ni..."

"Ingat tak semalam kita ada jumpa dekat Parkson?"

Jumpa dekat Parkson? Ishh... lelaki ni cubalah kasi maklumat yang lebih terperinci sedikit. Sah-sah dia kerja di Parkson, jadi pastinya lah tiap-tiap hari dia akan jumpa orang yang tak dikenali dekat Parkson tu.

"Semalamkan Adriana yang tolong saya berkenaan masalah baju kemeja yang tak ada butang tu?"

Adriana tersenyum apabila akhirnya dia mampu mengingati gerangan sebenar lelaki disebelahnya ini bila si dia menyebut peristiwa berkaitan baju kemeja yang tiada butang itu. Lelaki inilah yang dipanggil si banyak songeh oleh Fatin semalam.

"Ohh... baru saya ingat. Ya... ya... betullah encik ni lelaki yang semalam tu."

"Hmm.....Adriana baru balik kerja ya?"

"Ya. Saya baru je habis kerja. Nak balik rumah. Rasa macam dah melepek sungguh."

"Kebetulan saya pun nak balik juga ni. Baru lepas habis dinner dengan client dekat Madam Kwan's tadi."

Adriana hanya mengangguk pada kenyataan yang keluar daripada mulut lelaki disebelahnya itu. Tak tahu nak komen apa. Lagipun dia hanya kenal lelaki ini sebagai seorang pelanggan Parkson KLCC yang telah menimbulkan kekecohan di tingkat seliaannya semalam sahaja.

"Aaa... saya balik dululah ya. Nanti terlepas LRT pula."

Adriana menyatakan hajatnya untuk berlalu pada lelaki yang tidak diketahui namanya itu. Rasanya tidak perlulah dia berlama-lama di sini sekadar untuk bersembang dengan lelaki yang asing pada dirinya. Namun baru sahaja dia mahu melangkah, lelaki itu memanggilnya sekali lagi.

"Nantilah dulu. Boleh kita jalan sama-sama? Kebetulan saya pun nak menuju ke arah yang sama sebab saya park kereta dekat seberang KLCC."

"Oh, sure... No problem."

Itu sahaja mampu dijawabnya. Biarlah kalau lelaki itu nak jalan bersama-samanya sekalipun. Lagipun lorong yang dilaluinya ini adalah hak milik pengurusan KLCC. Adriana bukannya ada kuasa untuk melarang lelaki itu daripada berjalan disebelahnya. Langkah kakinya terus dihayun menuju ke stesen Putra LRT. 

"Dah lama Adriana kerja dengan Parkson?"

Sambil melangkah lelaki itu cuba untuk menjalinkan kemesraan dengan meluahkan pertanyaannya pada Adriana. Adriana mengerutkan dahinya cuba mengingati apabila dia mula menyedari yang lelaki itu daripada tadi memanggilnya Adriana. Pelik pula rasanya bagaimana lelaki ini boleh tahu namanya sedangkan semalam dia tak ada pun mengenalkan siapa dirinya langsung pada lelaki ini. Lalu tanpa menjawab soalan lelaki disebelahnya ini dulu, dia meluahkan persoalan yang berlegar di benaknya tadi.

"Macam mana encik tahu nama saya Adriana?"

"Hmmm… semalam bukan ke sales girl tu sebut nama Adriana depan saya? Lagipun memang jelas pada name tag yang saya nampak dekat baju yang Adriana pakai semalam tertulis nama Adriana."

"Ya ke? Hmm... Tapi tak acilah sebab saya tak tahu pun nama encik..."

Adriana hanya mampu menggigit-gigit bibirnya tanda kecuaiannya. Dia tidak kisah sebenarnya kalau orang yang tidak begitu dikenali seperti lelaki disebelahnya ini hendak berbual dengannya dan tahu namanya. Tetapi terasa janggal pula dia nak melayan perbulan tentang soalan peribadi bila dia sendiri tidak mengetahui langsung nama lelaki disebelahnya ini.

"Opss... lupa pula saya nak kenalkan diri saya tadi. Nama saya Erdyzuan. Awak boleh panggil saya Zuan je. Tapi tak perlulah nak berencik-encik dengan saya Adriana. Kita bukannya tengah berurusan secara formal pun sekarang ni kan?"

'Zuan? Hmmm... sedap juga nama dia. Muka pun boleh tahan kacak. Ada iras-iras cina dan english guy sedikit. Tinggi pun tak menahan. Rasanya lebih daripada 185cm dia ni. Tengok pada pakaian yang dipakainya pun nampak hebat. Mesti kerja dahsyat ni.'

 Hati kecil Adriana menakal meneliti fizikal teman yang baru dikenalinya itu. Sempat lagi dia membandingkan ketinggian Zuan dengan dirinya yang macam langit dengan bumi sahaja rasanya. Tinggi Adriana baru 158cm sahaja. Kalau nak pandang muka Zuan ni betul-betul, jawabnya Adriana kena mendongakkan kepalanya sedikit. Namun kemudiannya Adriana tersentak apabila Zuan menyoalnya semula.

"Adriana tak jawab soalan saya tadi lagi kan?"

"Huh, soalan? Soalan apa?"

" Tadikan saya tanya dah berapa lama Adriana kerja dengan  Parkson tu?"

"Oh... dah masuk tiga tahun. Lepas graduate saya terus kerja dengan Parkson. Kenapa tanya?"

"Tak ada apa-apa. Saja je tanya. Mungkin sebab semalam saya tengok Adriana nampak cool sahaja masa deal dengan saya. Tapi salesgirl yang jaga tempat tu awal-awal lagi dah kalut."

"Yalah, saya kan dah lama kerja dekat situ. Jadi saya dah teramat biasa hadapi situasi-situasi macam tu. Tapi Fatin baru je dua hari bekerja dekat situ semalam. Mungkin sebab tu dia menggelabah bila layan Zuan. Lagipun saya ni sememangnya dah diajar untuk sentiasa berdiplomasi bila berhadapan dengan pelanggan walau secerewet mana pun yang datang."

"Maaf ya pasal semalam tu. Saya jadi naik angin pula bila tak puas hati dengan cara budak sales girl tu layan saya. Lagipun saya malas nak menjawab dengan adik saya nanti kalau saya tak dapat tukar baju tu."

"Ohh... baju tu untuk adik. Saya ingatkan semalam untuk isteri atau kekasih. Tak apa. Saya faham situasi Zuan. Bertuah sungguh adik Zuan tu sebab dapat abang yang cukup prihatin."

"Eh, saya belum kahwin lagi. Girlfriend pun tak ada lagi. Kalau Adriana nak jadi girlfriend saya apa salahnya. Kecil tapak tangan, satu pemeluk tangan pun saya sanggup tadahkan."

Terbeliak mata Adriana mendengar kata-kata Zuan tu. Ishh... gatal juga lelaki seorang ni. Tapi yalah dah namanya lelaki, nak buat macam mana bila dah sebati dengan unsur-unsur gatal ni sejak zaman dinosaur lagi. Mana boleh dipisahkan. Sudah elok-elok berbual pun boleh melencong juga.

"Heh... don't feel offended. Saya bergurau sahaja tadi. Tapi Adriana ni bukan isteri orang atau tunang orang pun kan?"

"Kenapa pula kalau saya tunang orang atau isteri orang sekalipun?"

"Kalau hak orang tak mahulah saya kacau. Nanti tak pasal-pasal lebam biji mata saya ni."

"Taklah, saya masih lagi single but I might be and might not be available. Tengok pada situasinya."

"Ada macam tu pulak?"

Adriana hanya tertawa dan tawanya itu kemudian disambut oleh tawa Zuan. Berjalan sambil berbual, terasa sekejap sahaja mereka sudah sampai di hadapan stesen Putra LRT.

Namun Adriana terasa pelik pula apabila melihat terdapat begitu ramai orang yang berkumpul dihadapan mesin slot tiket stesen LRT itu tetapi tidak nampak langsung pula ada orang yang masuk ke dalam area selepas mesin slot tiket LRT tersebut.

Biasanya memanglah waktu-waktu macam ni LRT KLCC akan agak penuh kerana pada waktu beginilah kebanyakan orang yang bekerja di kedai-kedai dalam SURIA KLCC sepertinya akan pulang dari tempat kerja tapi hari ini suasananya macam ekstra ramai. Baru sahaja dia berniat untuk bertanya pada pengawal yang bertugas di stesen itu apa yang sebenarnya berlaku, kedengaran sebuah pengumuman dibuat.

'Harap maaf. Perjalanan sistem LRT sedang tergendala. Anda diminta mengunakan perkhidmatan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan anda.'

Aduh... macam mana nak balik ni? Tergendala pula. Sudahlah dah malam ni. Mana ada bas yang terus ke rumahnya daripada KLCC ni. Jawabnya dia kena ambil teksi ataupun ambil  bas ke Lebuh Ampang dan tukar bas ke rumahnya. Dalam tengah penat macam nilah LRT nak buat hal.

"Kenapa Adriana?"

Adriana terkejut apabila terdengar Zuan bertanya begitu dekat dengan telinganya. Rasa nak luruh jantung bila disergah secara tiba-tiba begitu. Ingatkan lelaki ini tadi dah terus jalan dan menaiki escalator untuk ke keretanya yang dikatakan diletak di seberang Jalan Ampang. Rupanya lelaki ini masih ada lagi di sisinya sejak tadi.

"Kus semangat... awak ni Zuan buat saya terkejut je. Ingatkan awak dah balik."

"Sorry... saya memang nak balik dah, tapi nak ucap selamat tinggal dulu pada Adriana. Kenapa mereka semua ni dan Adriana pun tak naik LRT lagi?"

"Zuan tak dengar pengumuman tadi ya? LRT rosaklah."

"LRT rosak? Habis macam mana Adriana nak balik ni?"

"Saya naik teksi atau naik bas sahaja lah rasanya. Okaylah, saya nak naik escalator tu pergi cari teksi atau bas."

"Saya pun nak kesana. Jom sekali."

Kali ini sepanjang menaiki escalator mereka berdua hanya diam sahaja. Adriana masih sibuk berfikir-fikir cara terbaik untuk sampai kerumahnya. Namun sampai sahaja di atas, sekali lagi Adriana terkejut. Betapa ramainya orang yang tengah beratur untuk menaiki teksi. Teksi yang datang pula tidak banyak mana. Kalau macam ni gayanya nak menunggu teksi, jawabnya entah jam berapa baru dia boleh dapat teksi.

 Baru sahaja dia hendak menukar pelannya untuk balik menaiki bas, dilihatnya bas yang datang di seberang jalan sana juga semuanya sudah sarat dengan penumpang. Pening pula rasanya melihat situasi yang tengah melanda. Semua orang nak berebut-rebut balik ke rumah masing-masing.

Erdyzuan yang masih disebelah Adriana terkejut sama melihat situasi di Jalan Ampang ini. Manusia berpusu-pusu dan masing-masing berebut sesama sendiri menaiki teksi dan bas awam. Teruk juga KLCC jadinya bila LRT rosak. Tak dinafikan zaman sekarang ni kebanyakan orang telah memilih untuk menaiki LRT sebagai medium pengangkutan ke tempat kerja mereka. Tanpa sedar bibirnya menuturkan komen.

"Ramainya yang nak naik teksi... Habis acam mana awak nak balik ni Adriana?"

"Entahlah... jalan kaki kot?"  

 Adriana mengeluh berat melihat situasi dihadapan matanya ini.

"Jalan kaki? Rumah Adriana dekat mana?"

"Saya tinggal dekat Desa Setapak."

"Isshh... jauh juga tu. Ada ke nak jalan kaki? Mahu patah kaki dibuatnya."

"Taklah, saya bergurau je. Saya pun tak sanggup nak jalan kaki sampai ke rumah. Apa nak buat lagi, beratur jelah dalam barisan panjang-panjang tu dan tunggu teksi sampai datang."

"Panjang tu barisan yang beratur. Tu tak termasuk lagi yang potong barisan nak tahan teksi. Apa kata saya hantarkan Adriana? Kebetulan kita sehala. Rumah saya dekat Wangsa Maju seksyen 5. Tak jauh mana pun daripada Desa Setapak tu kan?"

"Ha... Zuan nak hantarkan saya? Err... tak apalah Zuan. Saya tak nak susahkan Zuan."

Adriana terkejut apabila menerima pelawaan daripada lelaki yang baru sahaja dikenali namanya sebentar tadi. Mereka baru sahaja berbual beberapa patah perkataan, lelaki ini dah ajak dia tumpang keretanya? Seram pula rasanya. Walaupun sudah mengenali namanya, dia belum betul-betul kenal sifat Erdyzuan yang sebenarnya. Dibuatnya dia ni kerja part time sebagai agent pada bapak ayam dekat Bukit Bintang atau Lorong Haji taib tu, haru dibuatnya.

"Adriana takut saya buat tak senonoh ya? Saya jamin saya akan hantar Adriana ke rumah dengan selamat tanpa sebarang sentuhan pun. Saya cuma nak tolong Adriana sahaja. Saya bukannya nak buat jahat. Kalau Adriana nak tahu, setakat ini rekod saya memang bersih. Saya ni tak pernah lagi dikaitkan lagi dengan sebarang jenayah. Kalau Adriana tak percaya, ambil telefon bimbit saya ni dan telefon kawan serumah ataupun keluarga di rumah dan katakan Adriana akan pulang dengan saya. Kalau Adriana tak sampai lagi di rumah lebih daripada sejam, suruh mereka buat laporan polis. Beri sekali nombor pendaftaran kereta saya. WGP 6524. Kereta jenis Honda CRV blue metallic color."

Adriana rasa nak tergelak sahaja dengan jaminan kata-kata Erdyzuan itu. Siap beri nombor pendaftaran dan jenis kereta sekali sebab takut Adriana tak percaya padanya. Selepas berfikir seketika, akhirnya Adriana mengambil keputusan menelefon seseorang untuk meminta bantuan menagmbilnya di Jalan Ampang ini dahulu. Kalau orang itu tidak dapat membantu, baru Adriana akan pertimbangkan cadangan Erdyzuan tadi.

"Tak apa. Saya guna telefon saya sahaja."

Selepas mengeluarkan telefon bimbitnya, Adriana mula mendail nombor yang sudah cukup dihafal dikepalanya. Saat panggilannya disambung, Adriana menjauhkan sedikit dirinya daripada Erdyzuan. Tidak mahu lelaki itu mendengar perbualannya.

"Hello... Kerol kau dekat mana?"

"Aku dekat JB. Ada kerja. Kenapa Ary?"

"JB? Alahai... aku baru nak mintak tolong kau ambil aku dekat Jalan Ampang ni. LRT rosak malam ni. Teksi pula ramai sangat yang tengah beratur tu."

"Habis nak buat macam mana? Aku suruh papa aku ambil kau nak ke? Kalau nak aku telefon papa aku tu. Rasanya dia ada dekat KL je, dia tak ada ke mana-mana pun minggu ni."

"Papa kau? Tak payahlah Kerol. Segan pula aku nanti. Tak apalah nanti aku cuba tanya kawan-kawan aku yang lain kot-kot ada yang boleh tolong."

"Nak segan apa kebendanyalah kau ni. Macam tak biasa sahaja dengan papa aku tu. Kalau kau dah kata macam tu tak apalah. Hati-hati balik tu. Nanti dah sampai rumah jangan lupa call atau sms aku."

"Okay. Bye... Kerol."

"Bye..."

Adriana mengeluh. Kerol tak dapat tolong dia pula. Kenapalah saat-saat macam ni dia kena ke Johor Bharu pula. Tak ada pula diberitahunya Adriana yang dia nak ke Johor Bharu. Biasanya kalau dikehendaki bekerja luar daerah, Kerol pasti akan beritahu Adriana dahulu. Nak minta tolong pada uncle Kamarul papa Kerol tu segan pula rasanya. Memanglah dia dah agak biasa berurusan dengan papa Kerol tu. Tapi itupun selalunya bila Kerol ada bersama-sama dengannya sahaja.

Nak minta tolong kawan-kawan lain seperti yang dikatanya pada Kerol tadi, siapa sahaja yang dia ada. Dia bukannya banyak kawan rapat yang lain. Kawan biasa-biasa tu banyaklah.

Mahu tak mahu rasanya terpaksalah dia terima pelawaan Erdyzuan tu. Tawakal sahajalah pada Allah tak akan ada apa-apa yang buruk terjadi pada dia nanti. Nak buat macam mana lagi. Barisan orang yang menunggu teksi dari tadi tak surut-surut juga nampaknya. Dia pula sudah teramat penat untuk terus berdiri lagi.

"Err... okaylah Zuan, saya ikut Zuan je."

Akhirnya dia menyatakan persetujuannya apabila dia merapati semula tempat lelaki itu sedang berdiri dari tadi.

"Kalau macam tu, jomlah ikut saya. Saya park kereta dekat bangunan Public Bank tu."

Erdyzuan memulakan langkah kakinya dengan hati yang lapang apabila Adriana akhirnya bersetuju mengikutnya. Nampaknya selepas ini adalah harapan untuk dia mengenali Adriana yang manis ini dengan lebih dekat lagi.


iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:22 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia