Resepi Hati Dia
Tuesday, January 01, 2008
Resepi Hati Dia

Prolog

 

 

Zuanic,

 

Kau tahu tak Zuanic esok adalah hari jadi Ary yang ke-33. Setelah lima tahun berlalu Ary dah tak mahu berharap lagi yang 'dia' akan berada di sebelah Ary sebaik sahaja Ary buka mata esok pagi dan ucapkan 'Selamat Hari Jadi Sayang' seperti yang biasa dilakukannya untuk dua tahun yang pernah kami lalui  bersama-sama dahulu.

Esok di saat usia Ary bertambah Zuanic, kematangan Ary juga akan semakin bertambah. Sudah lima tahun Ary terpaksa berlalu pergi. Tetapi kenapa Ary masih tak dapat lupakan 'dia' lagi ya? Sedangkan rasa sayang yang ada buat 'dia' rasanya sudah lama hilang dari hati ini Zuanic.

Untuk hadiah esok, Ary hanya harap apabila Ary bangun pagi Ary akan terus lupa segala-galanya tentang 'dia'. Lupa yang Ary pernah kenal dengan 'dia'. Moga-moga segala memori yang ada tentang 'dia' akan berlalu pergi seperti mimpi.

Doakan Ary ya Zuanic...

 

 

 

Baru sahaja Adriana mahu menekan butang publish pada tetingkap creat an entry pada laman web blogdrive miliknya, ada suara seseorang memanggilnya dengan cemas.

            "Kak Ary... kak  Ary... cepat kak... cepat... Ay - Ayan tu..."

            Ary memandang lelaki yang tercungap-cungap di hadapannya ketika itu dengan dahi berkerut. Kenapa Fadly ni macam kalut sahaja? Apa dah terjadi pada Aryan? Memikirkan sesuatu yang buruk telah berlaku pada Aryan, membuatkan jantung Ary terasa berdetak keras tiba-tiba.

"Kenapa kalut-kalut ni Fadly? Kenapa dengan Ayan?"

Ary sudah bangun dari tempat duduknya. Dia mula gelisah melihat Fadly yang tercungap-cungap seperti tidak cukup nafas setelah menyertai acara berlari 100meter sukan SEA. Kalaulah Fadly tu adiknya yang tidaklah berdosa sekiranya dia sentuh kulit budak lelaki itu, mahu sahaja digoncangkan tubuh tersebut supaya menyampaikan maklumat untuknya itu dengan segera. Tetapi hakikatnya mereka langsung tiada ikatan antara satu sama lain. Fadly hanyalah pekerjanya sahaja di kafe tersebut.

"Kak Ary, Ayan kena langgar tadi !"

"Kena langgar? Ya Allah!"

Wajahnya sudah berubah pucat Lututnya terasa lembik tiba-tiba mendengar perkhabaran tersebut. Pantas sahaja tangannya menangkap permukaan meja untuk menyokong badannya supaya terus tegak berdiri ketika itu.. Aryan kemalangan? Macam mana perkara tersebut boleh terjadi? Bagaimankah keadaan Aryan ketika ini? Pelbagai persoalan menyerbu benaknya ketika ini. Aryanlah satu-satunya permata hatinya. Kalau apa-apa terjadi pada Aryan, bagaimana dia harus teruskan hidupnya kelak?

"Ya kak Ary. Ayan kena langgar kereta dekat depan tadi. Tadi masa saya tengah nak hantar pesanan dekat meja pelanggan, Ayan kata dekat saya yang dia nak pergi beli komik dekat kedai mamak seberang tu. Dia ajak saya temankan. Saya kata tunggu saya hantar pesanan tu dulu, lepas tu baru saya temankan dia. Saya suruh tunggu dekat depan kedai. Lepas hantar pesanan tu, saya cari dia dekat pintu kedai, tengok-tengok dia dah lintas jalan seorang diri. Saya baru nak jerit panggil dia, tiba-tiba ada sebuah kereta datang laju dan terus langgar dia."

Satu persatu rentetan peristiwa yang berlaku diceritakan Fadly padanya. Ayatnya sudah mula lancar setelah nafasnya kembali teratur semula. Namun tidak pada Adriana. Dirinya semakin cemas apabila mendengar cerita Fadly. Air matanya sudah mula menits ke pipi. Memang tadi ada Aryan memintanya duit untuk beli komik. Dia hanya beri duit yang diminta si kecilnya tanpa banyak soal. Lagipun Aryan sudah di ajar kalau mahu ke kedai seberang, kena minta mana-mana kakak dan abangnya yang merupakan pekerja Adriana sendiri untuk menemankan dia.

"Macam mana dengan Ayan? Dia dekat mana sekarang?"

Hatinya benar-benar tidak tenteram sekarang. Mendengar Aryan dilanggar kereta, hatinya semakin merintih. Aryan kena langgar kereta! Aduh, macam manalah keadaan si kecilnya itu sekarang ini? Dia benar-benar takut kalau-kalau terjadi sesuatu pada Aryannya. Tentu teruk keadaan Aryan ketka ini. Aryan itu baru sahaja empat tahun. Masih sekecil sang kancil lagi. Kena langgar pula dengan kereta yang pastinya sebesar gajah. Ya Allah, janganlah kau ambil nyawanya lagi. Dia masih memerlukan kekuatan dan peneman daripada Mohammad Aryan Hafiznya.

"Ayan cedera. Orang yang langgar tu dah tolong angkat Ayan dan bawa dia ke Klinik Dr. Fae..."

Belum habis Fadly memberitahu nama klinik tempat Aryan dirawat, Ary sudah mengorak langkahnya pantas keluar daripada biliknya dan menuju ke Klinik Dr. Faez yang terletak di seberang kafenya, Aryz-one Café.

Sambil melangkah dia mengeluarkan telefon bimbitnya yang di leetak dalam poket seluar dan mendail nombor seseorang.

"Kerol tolong datang sini segera. Ayan kemalangan. Dia kena langgar kereta!"

Dalam serak suaranya dan tanpa salam seperti biasa terus disampaikan tujuan panggilannya di buat. Tangisan sudah semakin lebat mengambil tempat di birai matanya. Bibirnya pula sudah bergetar menahan raungannya daripada terus keluar.

 

 

 

 

 

Sampai sahaja dia di hadapan klinik Dr. Faez, terus dia melangkah masuk dan menerpa ke kaunter hadapan. Belum sempat dia bertanya di mana Aryan dirawat, Melor yang merupakan salah seorang jururawat yang berada di kaunter tersebut pantas menegurnya.

"Ha, kak Ary! Jom saya bawa kak Ary masuk bilik rawatan. Jangan bimbang, Ayan tak apa-apa. Sedikit sahaja lukanya tu. Doktor tengah merawat dia dekat dalam sana."

Tanpa banyak soal, dia terus sahaja mengikut langkah Melor menuju ke bilik rawatan yang terletak di bahagian dalam klinik. Nasib baik dia sudah mengenali kebanyakan pekerja di klinik ini memandang mereka selalu berkunjung ke kafenya untuk membeli makanan. Jadi tidak perlulah dia bersusah payah hendak bertanya dimana dia hendak mencari anaknya yang sedang dirawat di situ mengikut kata Fadly tadi.

Melangkah ke dalam bilik rawatan tersebut, matanya terus menangkap susuk tubuh permata hatinya yang sedang terbaring di atas katil yang tersedia di dalam bilik tersebut. Doktor Faez pula dilihatnya sedang mencuci luka pada kaki Aryan. Ada seorang lagi lelaki di dalam bilik tersebut, namun dia tidak mahu ambil peduli siapakah gerangannya lelaki itu.

Air matanya semakin lebat apabila mendengar rintihan kecil Aryan memanggil namanya dalam keadaan cuba menahan kesakitan ketika lukanya sedang di cuci.

"Auchhh... ibu... ibu... sakit bu... ibu tolong Ayan bu... "

Mendegar rengekan si kecil, pantas dia mendekati katil tersebut dan menggenggam tangan kecil Aryan. Dia mahu Aryan sedar yang dia sudah ada di sisi si kecil itu ketika ini. Genggaman tangannya pada Aryan begitu erat seolah-olah cuba memberi kekuatan pada si kecil dalam menahan kesakitan yang sedang di alaminya.

"Ibu ada dekat sini Ayan... Ayan jangan menangis sayang..."

"Ibuuu... sakitttt..."

Air mata si kecil semakin merembes apabila melihat ibunya ada di sisinya ketika itu. Air mata Adriana juga semakin lebat mendengar rengekan permata hatinya itu. Pastinya sekejap lagi klinik Dr. Faez akan banjir dengan air mata kedua beranak ini.

"Shhh... Ayan kan good boy. Sikit sahaja ni. Ayan tahan sikit. Sekejap lagi siaplah uncle balut luka Ayan ni. Lepas ni uncle bagi Ayan gula-gula ya."

Dalam dua beranak tersebut asyik melayan tangisan mereka, terdengar suara Dr. Faez memujuk Aryan. Doktor yang berusia awal 40-an itu nampak bersungguh-sungguh cuba memujuk Aryan supaya menahan kesakitannya. Segala luka Aryan dicucinya dengan begitu berhati-hati. Seperti biasa apabila Aryan mendapatkan rawatan di klinik ini, pasti dia akan mengumpan Aryan dengan gula-gula supaya si kecil ini duduk diam-diam dan membiarkan dia merawatnya. Kalau tidak merawat Aryan sekalipun, pasti setiap hari akan ada sahaja gula-gula buat Aryan apabila dia mengunjungi Aryz-one Café sama ada untuk sarapan mahupun makan tengah harinya.

"Ary jangan bimbang, kecederaan Ayan tak begitu serius. Hanya luka-luka sahaja di bahagian kaki dan siku. Insyaallah dia tak apa-apa."

Sebuah senyuman sempat di hadiahkan oleh doktor yang berpangkat duda buat si ibu muda dengan harapan wanita itu tidak akan begitu bimbang akan keadaan anaknya ketika itu. Namun Adriana hanya membalas senyum hambar mendengar kata-kata tersebut. Walaupun Doktor Faez cuba meyakinkannya yang Aryan tidak apa-apa, hatinya tetap bimbang. Bagaimana seorang ibu boleh tidak bimbang apabila melihat anaknya sedang terlantar dirawat walau sekadar untuk luka-luka kecil sahaja.

Dalam pada itu, seorang lelaki yang turut berada dalam bilik rawatan tersebut cuba mengorak langkah untuk menegur wanita yang berada di sebelah kanak-kanak yang dipanggil Ayan itu. Saat menyedari wanita yang baru masuk ke bilik rawatan tersebut adalah ibu kepada kanak-kanak yang telah dilanggarnya tadi, dia mula menyusun ayatnya di dalam kepala untuk memohon kemaafan kerana terlanggar budak lelaki tersebut.

Ketika kejadian tersebut, dia sedang bercakap di telefon sambil memandu. Memang silapnya kerana leka memandu sambil berbual di telefon tanpa menggunakan hands free sehingga tidak menyedari ada budak kecil sedang melintas seorang diri. Kalau kes ini di laporkan ke balai polis tentu bakal menimbulkan masalah padanya kelak.

Macam mana dengan Qaisara kalau dia dipenjarakan? Kerana itu kalau boleh dia mahu menyelasaikan masalah ini di luar sahaja. Tanpa melibatkan laporan polis. Dia sanggup membayar segala kos perubatan dan ganti rugi jika diminta nanti. Nyatakan sahajalah jumlahnya, dia pasti akan berusaha membayarnya.

"Puan... saya minta maaf. Saya yang langgar anak puan tadi. Saya yang silap. Puan jangan bimbang, saya akan bayar segala kos rawatannya."

Adriana yang dari tadi membelakangkan lelaki itu baru tersedar akan kewujudannya dalam bilik rawatan tersebut di saat mendengar ada ucapan maaf yang terkeluar daripada mulut lelaki itu. Baru dia teringat semula yang anaknya ini tadi dilanggar dan orang yang melanggarnya ada bersama-sama dalam bilik rawatan ini. Entah mengapa rasa marahnya mula memercik apabila menyedari hakikat itu. Macam mana lah lelaki itu memandu dalam kawasan lot kedai sampai boleh terlanggar anaknya Aryan? Anaknya itu bukanlah kecil sangat macam semut sampai boleh tak nampak. Apa dia ingat, kawasan lot kedai ini sama macam litar sepang F1 ke sampai nak memecut?

Saat dia memalingkan tubuhnya untuk melihat wajah lelaki yang telah melanggar Aryan tadi, Adriana terpana saat matanya menatap wajah lelaki tersebut. Wajahnya yang merah akibat tangisan tadi terasa terus berubah menjadi pucat tidak berdarah. Dia bagaikan tidak percaya yang dia boleh berjumpa dengan lelaki ini di sini. Di dalam bilik rawatan kecil ini bersama-sama Aryan. Setelah lima tahun berlalu, kenapa dia harus menghadap wajah itu semula?

Lelaki tersebut juga tekejut melihat wanita bertudung yang merupakan ibu kepada budak kecil yang dilanggarnya tadi adalah wanita yang dicari-carinya selama ini. Patutlah sejak wanita itu masuk ke bilik ini dia seolah-olah kenal akan wajah tersebut. Daripada tadi dia sibuk cuba mengecam kalau-kalau dia kenal tetapi tidak berjaya kerana wanita itu sedang membelakangkannya. Apabila doktor yang merawat itu memanggil wanita tersebut Ary, hatinya sudah semakin berdebar. Tetapi cuba dinafikan gelojak hatinya kerana bukan seorang manusia sahaja dalam dunia ini menggunakan nama panggilan Ary.   

Kalau tadi ketika menerima berita Aryan dilanggar, Adriana merasakan lututnya longgar dan tidak mampu berdiri tegak, kini apabila menatap wajah lelaki itu dirasakan kepalanya mula berpusing-pusing. Pandangan matanya terasa semakin gelap. Rengekkan Aryan juga terasa semakin menjauh daripada pendengarannya. Dia terasa nak pitam. Tidak bukan lagi rasa  nak pitam tapi dia memang betul-betul pitam kemudiannya. Tubuhnya mula melmbik dan dia rebah ke lantai tanpa sempat di sambut.

Di saat yang sama juga Kerol muncul dari sebalik pintu rawatan tersebut!


iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:09 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page
Resepi Hati Dia