Resepi Hati Dia
Tuesday, April 08, 2008
Resepi Hati Dia - BaB 8

 "Sayang dah siap?"

"Tunggu sekejap, Ary nak ambil sesuatu dekat dapur dahulu."

Adriana menjawab sepintas lalu soalan Erdyzuan yang kini sedang berdiri menanti di muka pintu rumah sewaan nya sebelum dia berpaling masuk ke dalam rumah semula. Beberapa minit kemudian Adriana kembali semula ke pintu hadapan rumah sewaan nya bersama dengan sebuah bekas empat segi yang sederhana besar dan satu bekas bulat kecil. Setelah menyarungkan kasutnya, pantas dia mengekori langkah Erdyzuan memasuki kereta Honda CRV lelaki itu.

"Apa ada dalam bekas tu Ary?"

"Tak ada apa-apalah. Cuma sesuatu untuk emak Zuan aje. Jadi tak payah sibuk nak tahu. Dahlah tu, pandu sahajalah kereta tu cepat. Kasihan nanti emak Zuan terpaksa menunggu kita lama dekat rumah tu."

Malam ini, dia akan mengikut Erdyzuan ke rumah keluarga lelaki itu untuk makan malam dengan keluarganya. Lebih tepat lagi sebenarnya ialah berkenal-kenalan dengan Ma iaitu emak kepada Erdyzuan setelah Adriana bersetuju menerima lamaran untuk menjadi isteri kepada lelaki itu pagi tadi. Adik Erdyzuan tidak akan turut serta dalam acara malam ini memandangkan dia masih belum lagi pulang daripada tugasannya sebagai seorang pramugari dengan Malaysia Airlines System (MAS). Kata Erdyzuan petang tadi, kali ini adik kesayangannya itu kena bertugas untuk penerbangan KL - Johannesburg - KL yang dijangka akan sampai semula di Kuala Lumpur malam ini. Katanya lagi setelah kapal terbang mendarat di lapangan dan selesai segala urusan itu ini, kebiasaannya melewati waktu tengah malam barulah adiknya itu akan sampai ke rumah ini. Papa Erdyzuan pula menurut lelaki itu tidak lagi tinggal serumah dengan emaknya. Ibu dan bapanya sudah pun bercerai lebih sepuluh tahun yang lalu. Kini papanya sudah berhijrah ke Australia bersama isteri barunya, seorang wanita berbangsa Cina warganegara Australia.

Hati seorang Adriana sememangnya tengah sarat dengan debaran ketika ini. Memanglah apa yang dialaminya ini sebenarnya hanyalah reaksi biasa sahaja pada kebanyakan orang bila dikehendaki pertama kali berjumpa dengan bakal keluarga mentua mereka, tetapi apa yang dialaminya ini rasanya adalah berganda daripada apa yang biasa dialami oleh orang lain. Berganda rasa debaran kerana semua ini adalah terlalu pantas buatnya. Baru sahaja empat hari lalu dia telah meminta Erdyzuan masa selama tiga hari untuk membuat keputusan sama ada hendak menerima atau menolak lamaran lelaki itu. Hari ini, elok sahaja selepas dia menerima lamaran Erdyzuan, lelaki itu sudah meminta Adriana mengikutnya pulang untuk bertemu dengan emaknya pula.

Ya, dia sudah menerima lamaran Erdzyuan itu. Setelah tiga malam berturut-turut dia bersolat istikharah. Bangun sahaja daripada tidurnya pagi tadi setelah berjaga di satu pertiga malam untuk solat istikharah nya yang ketiga, dia sedar ada rasa yang begitu kuat muncul di hatinya ini untuk menerima Erdzyuan sebagai sebahagian daripada hidupnya. Hatinya tidak lagi gundah memikirkan lamaran Erdyzuan seperti enam hari yang sebelumnya. Mulanya keputusan itu mahu disimpannya rapi dahulu memandangkan dia tahu yang dia tidak akan berjumpa dengan Erdyzuan hari ini disebabkan pada hari minggu sebegini dia kena bekerja manakala Erdzyuan pula sememangnya bercuti. Jadi pada fikirannya, esok-esok sahajalah dia berjumpa dengan Erdyzuan untuk memberikan jawapan kasih lelaki itu.

Tetapi elok sahaja pagi tadi sebelum dia melangkah keluar rumah hendak pergi ke kerja, dilihatnya Erdzyuan sudah pun siap menunggu di hadapan rumahnya ini untuk mendapatkan jawapan Adriana. Huh, tak sabar-sabar sungguh lelaki seorang itu. Setelah Adriana mengatakan ya sahaja pada lelaki itu, Erdyzuan terus terlompat-lompat menari di hadapannya. Aduh, Adriana yang terasa malu jadinya melihatkan reaksi Erdyzuan yang di luar jangkauan fikirannya itu. Nasib baiklah semua jiran-jirannya masih tutup pintu mereka dan teman-teman serumahnya pun masih berlingkar dalam rumah pada pagi-pagi Ahad begini. Setelah menghantar bakal isterinya ini ke KLCC, dia ingatkan Erdyzuan tidak akan datang berjumpa dengan dia lagi sekurang-kurangnya sehingga esok hari.

Namun ternyata sangkaannya itu meleset apabila tamat sahaja waktu kerjanya pada jam 6.30 petang tadi, Erdyzuan sudah pun siap-siap menunggunya di pintu keluar Suria KLCC yang menghala ke stesen PUTRA LRT. Menurut Erdyzuan dia menunggu Adriana kerana hendak membawa Adriana ke rumahnya untuk makan malam dan berkenal-kenalan dengan emaknya. Sekalipun dia cuba menolak, rancangan itu kerana macam tidak sesuai pula masanya memandangkan dia baru sahaja tamat kerja dan tidak sampai pun 24 jam dia menerima lamaran lelaki itu,  Erdyzuan tetap memujuknya juga. Katanya, emak dia yang jarang memasak itu sudah pun awal-awal lagi menyediakan hidangan untuk mereka malam nanti apabila mendengar Erdyzuan hendak membawa bakal isterinya ke rumah. Lalu, mahu tak mahu terpaksalah Adriana mengikut juga rancangan mengejut Erdyzuan itu. Itu pun dengan penuh tegas disuruhnya Erdyzuan menghantar dia pulang ke rumahnya dahulu untuk menyegarkan badannya dan memakai pakaian yang lebih sesuai sebelum dijemput semula oleh Erdyzuan pada jam 8 malam.

Setelah tiba di rumahnya, baru dia teringat yang dia seharusnya mempunyai sesuatu untuk di bawa ke rumah Erdyzuan nanti sebagai buah tangan. Ya lah, adat orang bertandang mestilah bawa buah tangan kan? Lebih-lebih lagilah bila hendak bertandang ke rumah bakal mentua. Merasakan dia tidak sempat hendak keluar membeli apa-apa sebagai buah tangan buat emak Erdyzuan sebentar lagi, terus diselongkarnya peti sejuk dan kabinet dapurnya mencari sesuatu yang boleh disediakan untuk menjadi buah tangan dalam masa yang berbaki kurang daripada sejam. Apabila dia ternampak sebuku roti Gardenia Ordinary Whole meal Bread milik salah seorang teman serumahnya yang kononnya tengah berdiet dan makan roti itu sahaja ada di dalam peti sejuknya, terus datang idea di dalam kepalanya ini untuk menyediakan pudding roti sahaja. Resepi yang paling mudah dan tidak memakan masa yang lama untuk dibuat.

Lalu pantas sahaja dikeluarkannya roti tersebut berserta dengan sekotak susu segar Dutch Lady, empat biji telur dan juga kismis daripada peti sejuk. Laju sahaja tangannya berkerja merendam roti tersebut dalam semangkuk susu yang telah di bancuh sebelum itu dengan 50gram gula halus, dua sudu makan mayonis, dan esen vanila sebelum dicampurkan dengan kismis dan sebiji telur. Setelah itu dimasukkan bancuhan adunan tadi ke dalam loyang yang telajh dilengserkan denagn sedikit marjerin dan terus di letakkannya ke dalam oven yang telah pun dipanaskannya sebentar tadi. Sementara menunggu 20 minit untuk puding rotinya itu masak, dia membuat pula sos vanila di dalam sebuah periuk kecil di atas dapur. Susu, esen vanila serta gula dipanaskan dengan api sederhana sebelum dimasukkan tiga biji telur kuning sedikit demi sedikit dan dikacaunya sehingga agak likat sebelum menutup api dapur. Apabila mengingatkan sebentar tadi dia menggunakan roti kepunyaan teman serumahnya Lynz yang masih belum balik daripada kerja lagi, Adriana pantas mencoret nota pendek atas kertas dan dilekatkan pada pintu peti sejuk dengan magnet.

Che Lynz,

Aku pinjam roti kau dalam peti ais tu untuk buat puding roti. Balik daripada dinner nanti aku belikan yang baru sebagai ganti ya. J

-Adriana- 

Kemudiannya apabila melihat puding roti di dalam oven masih belum juga masak setelah selesai dia menyediakan sos vanilanya, Adriana segera mengambil kesempatan yang ada untuk pergi mandi dan bersembahyang Maghrib dahulu. Sebaik sahaja dia selesai menyiapkan dirinya dengan sepasang baju kurung warna biru dan tudung yang sedondon, salah seorang teman serumahnya memberitahu Erdyzuan sudah pun sedia menunggu di luar rumah untuk menjemputnya pergi.

Okey, itu adalah peristiwa yang terjadi daripada pagi tadi sehingalah membawa kepada sebab mengapa kini Adriana berada di dalam kereta Honda CRV Erdyzuan dan sedang menuju ke rumah lelaki itu. Oops tersilap, bukan lagi sedang menuju tetapi sudah pun sampai di hadapan rumah Erdyzuan yang terletak di Seksyen 5 Wangsa Maju. Itulah Adriana, siapa suruh jauh sangat berangan sampai tak sedar yang kini dia sudah pun tiba ke destinasinya malam ini. Ya lah jarak rumah Erdyzuan ini dengan rumahnya sewaannya itu bukanlah jauh mana pun sampai boleh nak buat aktiviti berangan panjang-panjang. Tak sampai pun satu kilometer rasanya.

"Okey, kita dah sampai."

Sebaik sahaja Adriana keluar daripada kereta Erdyzuan, matanya terkebil-kebil memerhatikan rumah lelaki itu yang berada di hadapannya kini. Rumah dua tingkat di jalan 10/27a Seksyen 5 Wangsa Maju ini adalah daripada jenis rumah teres yang agak besar saiznya berbanding kebanyakan rumah teres yang biasa dilihatnya dan sedikit tinggi parasnya kerana jalan di kawasan ini sememangnya agak bercenuram. Rumah ini juga terletak di kedudukan paling hujung sekali dalam barisan rumah di jalan ini. Lagaknya seperti seorang pakar penilai hartanah sahaja Adriana menganalisis sendirian nilai rumah Erdyzuan ini. Lalu kerana terlalu leka menganalisis rumah itu, tanpa sedar Adriana hanya mengikut sahaja apabila Erdyzuan menarik hujung jarinya mengajak dia melangkah masuk ke rumah lelaki itu. Apabila tiba sahaja di muka pintu rumah tersebut, dilihatnya berdiri di situ seorang wanita yang amat cantik pada matanya dalam usia awal 50-an sedang menantikan kehadiran mereka.

"Ma, kenalkan inilah dia Adriana."

"Err... apa khabar aunty?"

Dalam sedikit gugup Adriana pantas bertanya khabar pada emak Erdyzuan sekadar untuk berbahasa sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam setelah diperkenalkan oleh Erdyzuan. Sebelum menghulurkan salam, bekas berisi puding rotinya tadi diserahkan pada tangan Erdyzuan dahulu. Daripada ekor matanya dia sempat nampak Erdyzuan membuka sedikit penutup bekas itu untuk melihat isinya sebelum menutupnya kembali dengan senyuman lebar di bibirnya. Sebenarnya daripada dalam kereta tadi lagi lelaki itu nampak tidak sabar-sabar mahu tahu apa isi bekas yang dibawanya itu, namun dia malas hendak beritahu. Bukannya apa, dia cuma takut kalau diberitahu daripada awal lagi apa isinya, nanti belum sempat sampai rumah Erdyzuan ini habis licin buah tangannya itu di tangan Erdyzuan seorang sahaja. Bakal suaminya inikan memang jenis yang kuat makan. Emak Erdyzuan menyambut salam Adriana dengan erat dan senyuman manis sebelum mengenalkan dirinya pula sebagai balasan dengan penuh ramah.

"Hai, Adriana. I'm Melissa. Aunty sihat-sihat sahaja. Akhirnya dapat juga aunty berjumpa dengan buah hati Erdyzuan yang cuba disorok-sorokkannya selama ini. Pernah beberapa kali dia ceritakan pada aunty fasal Adriana. Eh, jom lah masuk ke dalam. Hidangan semuanya sudah tersedia. Boy ajak Adriana ni masuk ke dalam."

Selepas berkata-kata begitu, terus emak Erdyzuan melangkah masuk ke dalam rumah sebelum diikuti oleh Erdyzuan dan Adriana. Setelah mereka selamat duduk di meja makan, pantas Adriana bertanya dalam nada sedikit berbisik dan menahan dirinya daripada tergelak pada Erdyzuan apabila mendengarkan aunty Melissa membahasakan diri lelaki itu sebagai Boy sebentar tadi.

"Boy? Emak Zuan panggil Zuan dengan nama Boy ke? Ee, dah tua bangka macam ni pun masih dipanggil sebagai Boy?"

"Shut up lah, jangan nak banyak-banyak tanya pula. Itu nama panggilan daripada kecil lagi sebab Zuan satu-satunya anak lelaki Ma. Adik Zuan pula dipanggil Girl sebab dia juga satu-satunya anak perempuan dalam rumah ni."

"Adriana jemputlah makan. Jangan segan-segan ya. Aunty ni tak pandai memasak sangat. Masakan ringkas-ringkas tu bolehlah. Inipun kelam-kabut aunty dibuatnya bila tiba-tiba tengah hari tadi Boy kata nak ajak Adriana datang makan malam di sini."

"Tak apa aunty, Ary tak cerewat sangat bab makan. Ary makan apa sahaja yang terhidang atas meja."

"Kalau Ma nak tahu Ary ni memang pandai memasak macam-macam tau. Semua yang dia masak tu sedap-sedap belaka pula."

Adriana hanya menghantar lirikan tajam pada Erdyzuan apabila merasakan lelaki itu telah melobinya melebih-lebih pula. Rasa tak kena pula bila Erdyzuan melebih-lebih memuji masakannya di kala emaknya itu mengaku yang dia tidak pandai memasak sangat. Nanti tak pasal-pasal pula emak dia akan terasa nanti apabila mendengarkan pujian itu. Tetapi bila Adriana pandang wajah aunty Melissa, wanita itu nampak macam biasa sahaja riaknya. Tidak nampak pula macam terasa dengan kata-kata anaknya itu tadi. Erdyzuan pula hanya tersengih sahaja melihat lirikan Adriana itu. Dalam pada itu sempat juga dia mengenyit matanya pada Adriana. Isy, daripada pagi tadi pakcik seorang ni asyik tersenyum riang sahaja. Rimas betul Adriana dibuatnya.

Sambil makan mereka bertiga berbual-bual serba sedikit untuk mengenali diri masing-masing. Aunty Melissa banyak bertanyakan soalan pada Adriana. Tentang asal-usulnya, kerjanya, aktiviti masa lapangnya dan juga bagaimana dia boleh berkenalan dengan Erdyzuan. Adriana pula sebaik mungkin cuba menjawab segala soalan daripada emak Erdyzuan itu. Syukur nampaknya emak Erdyzuan tidak kisah sangat tentang asal-usul Adriana yang hanyalah seorang anak yatim-piatu ini. Sesekali ada juga Erdyzuan menyampuk dalam perbualan Adriana dan emaknya itu untuk memberikan pendapat tambahan yang diketahuinya tentang Adriana alias melobi emaknya supaya akan  jatuh suka pada Adriananya itu.

Melalui perbualan di meja makan itu juga Adriana dapat mengenali tentang diri aunty Melissa apabila wanita itu bercerita tentang dirinya. Cerita Aunty Melissa, dia adalah daripada keturunan Baba Nyonya yang kemudiannya memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan papa Erdyzuan yang merupakan lelaki melayu tetapi mempunyai keturunan orang Inggeris dalam susur-galurnya. Jadi memang patutlah pun wajah Erdyzuan nampak sangat-sangat kacak macam anak kacukan. Katanya lagi, dahulu dia bekerja sebagai seorang pegawai bank. Dengan selamba dia mengatakan kerjayanya yang selalu sibuk itulah yang telah membuatkan dia dan papa Erdyzuan bercerai lebih sepuluh tahun yang lalu. Wajahnya, Adriana lihat walaupun nampak tenang semasa bercerita tetapi tetap ada imbasan kesedihan di situ. Erdyzuan pernah bercerita padanya yang emaknya itu memang agak tertekan setelah bercerai dengan papanya. Maka sebab itulah dia selalu menghabiskan masanya di luar rumah dengan ke sana dan sini bersama kawan-kawannya daripada duduk di rumah sahaja.

"Jadi bilanya kamu berdua nak kahwin ni?"

Dalam rancak mereka bercerita sambil makan tadi, tiba-tiba sahaja aunty Melissa mengajukan soalan bonus itu. Namun baru sahaja Adriana mahu menjawab yang mereka masih tidak merangcang lagi bila hendak berkahwin kerana dia baru sahaja menerima lamaran Erdyzuan pagi tadi, lelaki itu sudah mendahuluinya memberikan jawapan.

"11 januari 2002."

Adraian tersentak mendengarkan jawapan Erdyzuan itu. Hari ini ialah 11 November 2001. Maksudnya lebih kurang dua bulan lagi Erdyzuan sudah mahu berkahwin dengannya? Biar benar lelaki bernama Erdyzuan itu? Ee, Adriana tak bersedia lagilah nak kahwin. Paling-paling dia ingat mereka akan bertunang dahulu untuk enam bulan sekurang-kurangnya seperti kebanyakan pasangan lain. Lagipun mana sempat nak buat persediaan perkahwinan dalam masa yang sungguh suntuk ini. Apa yang mereka rancang sekarang ialah sebuah perkahwinan yang sebenar dan bukannya perkahwinan olok-olok macam budak-budak kecil yang suka main kahwin-kahwin di rumah pondok. Jadi tentu sahaja segalanya perlu dirancang dengan penuh teliti. Lalu disebabkan rasa tidak puas hatinya akan jawapan Erdyzuan itu, Adriana merenung tajam wajah bakal suaminya itu meminta jawapan.

"Boy, mama pergi potong puding yang Adriana bawa tadi dan buat kopi dahulu untuk pencuci mulut. Apa kata Boy bawa Adrian duduk di taman kita tu. Tentu kamu berdua ada banyak benda yang hendak diceritakan kan? Pinggan-pinggan di atas meja ini biarkan sahaja. Sekejap lagi Ma akan kemas. Pergilah Adriana, tak payah susah-susah hendak tolong sebab bukannya banyak manapun."

Pantas aunty Melissa menyuruh Erdyzuan membawa Adriana ke laman untuk menikmati pencuci mulut dan kopi sebentar lagi apabila nampak ada sedikit ketegangan pada wajah Adriana ketika anaknya menyebut tarikh perkahwinan yang dirancang adalah 11 januari akan datang. Mungkin masih ada sedikit ketidak setujuan tentang tarikh itu antara pasangan muda tersebut. Jadi biarlah dia memberikan mereka masa untuk berbincang bersama dahulu.

Setelah mereka berdua berada di taman rumah yang menempatkan sebuah meja kecil berpayung, empat buah kerusi dan dihiasi dengan landskap air terjuan mini, pantas Adriana bertanyakan tentang tarikh perkahwinan yang disebut oleh Erdyzuan dan dia langsung tidak tahu-menahu tentang itu tadi.

" Zuan nak kita kahwin 11 Januari 2002?"

"Ya sayang, 11 januari 2002. Zuan dah tengok kalender tadi. 11 januari jatuh pada hari Jumaat. Bukan ke ada orang kata seelok-eloknya adalah bernikah pada hari Jumaat?"

"Zuan! Ary baru sahaja beri jawapan lamaran Zuan tu pagi tadi. Kemudian tiba-tiba petang tadi Zuan dah ajak Ary datang sini untuk berkenalan dengan emak Zuan. Sekarang ni pula tiba-tiba Zuan kata nak kita kahwin 11 Januari tahun depan? Dalam masa kurang 24 jam, Zuan dah rancang seorang diri segala-galanya? Zuan 11 Januari tu hanya dua bulan daripada sekarang. Mana sempat nak buat segala-gala persiapan."

"Sayang, dengar sini apa Zuan nak cakap okey. Zuan buat semua ni untuk senangkan kita juga. Keluarga Zuan ni bukannya besar mana dan Ary pun tak ada keluarga juga kan? Jadi buat apa kita nak tangguh lama-lama dan bertunang dahulu macam orang lain? Tadi masa Zuan balik rumah daripada hantar Ary pergi kerja, Zuan dah mula rancang segala-galanya. Lagi dua atu tiga minggu bila Ary dapat ambil cuti  hujung minggu, kita pergi kursus kahwin. Selesai tu kita boleh hantar borang ke pejabat kadi dan segala yang berkaitan. Sambil pada itu bila ada masa kita juga boleh pergi beli baju dan cincin, tempah tempat jamuan, tempah studio untuk bergambar serta kad jemputan. Sebenarnya untuk baju pengantin, studio dan kad kita boleh tempah sahaja dengan seorang kenalan Zuan tu. Dia tu wedding planner. Kita serah sahaja semuanya pada dia sebab senang nak uruskan. Bab cincin pula, bila-bila masa lapang atau waktu rehat tengah hari kita boleh cari dekat KLCC tua je. Tentang restoran untuk jamuan pula Zuan rasa nak pilih Restoran Nelayan dekat Titiwangsa tu. Lagipun Zuan agak jemputan kita tak akan ramai mana. Dalam seratus orang sahaja."

Huh, begitu mudah Erdyzuan membaut perancangan perkahwinan untuk mereka. Entah mengapa Adrian rasa macam nak menjerit sahaja mendengarkan perancangan ala kahwin koboi Erdyzuan yang begitu ringkas itu. Dia main tangkap muat sahaja semunya. Tetapi disabarkan hatinya bila menyedari yang ketika ini dia sedang berada di rumah keluarga Erdyzuan. Perakhwinan pada seorang Adriana adalah sekali sahaja untuk seumur hidupnya. Jadi tentu sahaja dia mahukan yang terbaik untuk majlis perkahwinanya. Sekalipun dia tidak pernah mengimpikan untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang serba mewah tetapi dia tetap tidak mahu segalanya hanya dibuat secara lebih kurang sahaja.

"Zuan, mana boleh main cincai macam tu sahaja. Nak kahwin kenalah rancang betul-betul. Lagipun Ary masih tak cukup duit lagi rasanya kalau nak kahwin dalam maa terdekat ni."

"Ary, sayang tak perlu bersusah-payah keluarkan sesen pun duit untuk majlis perkahwinan kita tu. Semuanya Zuan yang akan tanggung. Ary cuma perlu sediakan diri sahaja untuk jadi isteri Zuan. Faham?"

Isy, macam manalah nak kasi faham lelaki yang tidak faham bahasa seperti Erdyzuan ini? Susah sangat ke nak faham yang perempuan seperti Adriana ni tidak mahu sebuah perkahwinan yang tangkap muat sahaja. Perkahwinan yang terburu-buru seperti ini. Baru sahaja tiga bulan mereka berkenalan, tidak sampai 24 jam dia menerima lamaran Erdyzuan, lelaki ini sudah mahu lagi dua bulan mereka berkahwin. Kalau Adriana komen seperti ini, pastinya Erdyzuan akan jawab yang mereka akan mempunyai baki seumur hidup lagi untuk lebih rapat dan mengenali diri masing-masing.

"Zu..."

Baru sahaja Adriana mahu menambah hujahnya pada Erdyzuan supaya lelaki itu faham akan maksud di sebalik kata-katanya tadi, Erdyzuan meminta dirinya sebentar untuk melihat siapa yang datang apabila ternampak ada sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya ketika itu.

"Sekejap ya sayang, Zuan nak tengok siapa yang datang tu."

Rasanya lebih sepuluh minit dia menunggu seorang diri di bangku yang terdapat di taman rumah keluarga Erdyzuan itu sebelum akhirnya dia dapat mendengar suara dua orang manusia sedang berbual-bual sambil menghampiri tempatnya itu.

"Alah sebentar sahaja Girl. Kita berkenalan dulu dengan bakal isteri Boy. Kemudian Girl boleh pergi  masuk bilik untuk berehat ya."

"Huh, malas lah Boy. Girl tengah penat sangat-sangat ni."

"Sekejap sahaja... please ya?"

Adriana yang mendengar suara-suara itu dari sedikit kejauhan dapat mengecam pemilik-pemilik suara itu. Suara lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Boy itu sudah pastilah suara Erdyzuan. Suara Girl itu pula dia rasa adalah milik suara adik Erdyzuan. Bukankah tadi lelaki itu ada kata yang jika dia dipanggil sebagai Boy di rumah ini, adik perempuannya pula dipanggil sebagai Girl. Eh, adik perempuan Erdyzuan? Adiknya itu dah sampai di rumah selepas mendarat daripada penerbangannya ke? Kata tadi tengah malam baru sampai. Tapi sekarang ni baru sahaja jam 10.15 minit malam. Awalnya dia sampai…

"Girl kenalkan ini bakal isteri Boy, Adriana. Ary sayang, kenalkan pula ini Girl adik Zuan. Nama betul dia Ermilza binti Eusoff."

Apabila mendengarkan suara Erdyzuan yang memperkenalkan adiknya dengan Adriana, segera dia berpaling ke arah mereka berdua. Entah mengapa nama adik Erdyzuan itu terasa macam agak biasa sahaja pada pendengaran telinga Adriana ini. Apabila matanya mula menatap tampang adik Erdyzuan itu, Adriana benar-benat terkejut.

'Emil?'

Hati Adriana berbisik sendirian. Adik Erdyzuan adalah Emil? Emil atau Ermilza yang cukup dikenalinya itu? Ya Allah kecil sungguh dunia ini. Adik Erdyzuan yang bernama Ermilza Eusoff atau dipanggil Girl itu pula hanya melemparkan senyuman sinisnya apabila dia mula terpandang akan wajah manis Adriana  sepenuhnya sebelum menghulurkan tangannya untuk bersalam.

"Hai, apa khabar? I'm Emil. Nice to meet you Adriana."

Adriana semakin terpempan melihat senyuman sinis dan huluran tangan itu. Namun dalam pada rasa terkejut itu, tangannya tetap dihulurkan juga menyambut salam Ermilza itu. Huluran salam yang tidak begitu ikhlas sebenarnya kerana Ermilza menyambut salam Adriana di hujung jari sahaja.

"Ba - baik. Saya Adriana. Err... Nice to meet you too."

Suaranya kedengaran agak tersekat-sekat menjawab kerana masih dalam rasa terkejut apabila melihat Ermilza kini sedang berada di hadapan matanya ini setelah agak sekian lama mereka tidak bertemu.

'Adriana, jangan tunjukkan kelemahan kau pada perempuan tu kerana dia pasti akan merasakan dia mampu memperlekehkan kau.'

Terasa ada suara yang menjerit di sudut hati Adriana menyuruh dia jangan terlalu mempamerkan rasa terkejutnya di hadapan Ermilza ketika ini. Dan dalam kelam malam di laman rumah Erdyzuan ini, Adriana tetap dapat melihat senyuman yang bergayut di bibir Ermilza yang semakin sinis itu.

"See... I know both of you for sure can get well along from the begining. Betul tak Girl? Kan sayang?"

Huh, ya sungguh lah Adriana dan Ermilza alias Girl ini boleh duduk semeja. Tengok sahajalah nanti-nanti apa yang akan jadi antara mereka berdua. 

 

 

 

 

 Sorry neh gambo tak lawa sangat.... kamera dekat phone tu pixelnya

tak bagus  sangat...

 

Bahan-bahan untuk Puding Roti

 

5 keping (atau ikut sukalah nak banyak mana) roti putih biasa / roti kismis /roti wholemeal

100ml susu segar

50g gula pasir (sebaik-baiknya blend sedikit supaya halus)

Kismis/ laici yg dihiris halus/ apa-apa buah kering (pilihan)

1 biji telur (dipukul sekejap)

2 sudu makan mayonis

2 sudu teh esen vanila

 

Cara-cara membuatnya

 

Satukan susu, gula pasir, mayonis, esen vanila dankKismis/ laici yg dihiris halus/ apa-apa buah kering. Kacau rata.

Rendamkan kepingan roti tadi dengan kulit tepinya sekali dalam bancuhan tadi.

Masukkan telur dan kacau sebati.

Tuangkan dalam loyang / magkuk tahan panas yang telah dilengserkan dengan sedikit marjerin.

Bakar dalam ketuhar selama 20 minit atau hingga yakin dah masak pada suhu 170 darjah celcius.

 

Bahan-bahan untuk Sos Vanila

 

250ml (atau agak-agak sahaja berapa banyak nak buat) susu segar

3 biji kuning telur

1/4 cawan gula pasir (ikut rasa nak manis macam mana)

1 sudu kecil esen vanila

 

Cara-cara membuatnya

 

Didihkan susu, esen vanila dan gula dalam periuk dengan api sederhana besar

Tuangkan adunan kunung telur sedikit demi sedikit dan kacau hingga pekat

 

 

Walla... dah siap pun dan bolehlah dimakan... Enjoy...


iejay Simply Stated Her Recipe @ 11:41 am
Resepi Versi Mereka  

Previous Page Next Page
Resepi Hati Dia